Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Keinginan memiliki tubuh badan yang menawan mendorong segelintir wanita mengambil jalan pintas dengan melakukan suntikan silikon bebas pada payudara, tanpa menyedari risiko kesihatan serius yang boleh berlaku.
Pakar Perunding Bedah Am Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr Wan Zainira Wan Zain berkata, payudara akan kelihatan semakin membesar dan cantik selepas suntikan tersebut, namun kesannya hanya bersifat sementara kerana lama-kelamaan tisu payudara boleh menjadi keras dan menyakitkan.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku kerana kebanyakan klinik kecantikan menggunakan kaedah suntikan silikon bebas terus ke dalam tisu payudara tanpa sarung atau implan perubatan, berbeza dengan prosedur yang dilakukan di hospital.
“Di hospital, pakar bedah payudara akan meletakkan silikon berbentuk kapsul di belakang otot payudara melalui satu luka kecil, namun di klinik kecantikan, silikon bebas disuntik terus ke dalam isi payudara.
“Kaedah ini menyebabkan payudara membesar tetapi mengakibatkan ‘fibrosis’, iaitu tisu menjadi keras dan pesakit akan berasa sakit sebagai tindak balas badan terhadap bahan asing yang disuntik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Dr Wan Zainira berkata, silikon bebas yang dianggap sebagai bahan asing itu juga boleh menyebabkan pembentukan benjolan pada payudara.
Katanya ia juga berisiko mengalami ‘necrosis’ atau kematian tisu dan boleh mengakibatkan perubahan warna kulit menjadi kehitaman akibat tekanan dari dalam.
Selain itu, katanya, tindak balas badan terhadap silikon bebas turut menyebabkan payudara melepuh, luka dan mengalami keradangan.
“Apabila terdapat benjolan atau ketulan dalam payudara, ia menyukarkan doktor untuk membezakan sama ada ketulan tersebut berpunca daripada silikon atau kanser payudara.
“Walaupun pemeriksaan menggunakan imbasan perubatan seperti MRI atau mamogram dilakukan, pengesanan menjadi sukar kerana terdapat terlalu banyak bahan asing di dalam tisu payudara,” jelasnya.
Tambah beliau, kesan kecantikan selepas suntikan silikon bebas biasanya hanya bertahan minimum setahun sebelum komplikasi mula berlaku.
Dalam pada itu, Dr Wan Zainira turut menasihatkan golongan wanita tentang pengambilan produk tambahan yang mampu membesarkan atau memontokkan payudara kerana kebanyakannya mengandungi kuantiti hormon estrogen yang tinggi.
“Estrogen sememangnya penting untuk kecantikan wanita seperti menjadikan kulit lebih cantik dan payudara tegang, namun jika kandungannya berlebihan dalam badan, ia boleh menjadi pemangkin kepada kanser.
“Produk tambahan seperti multivitamin tidak menjadi masalah, tetapi produk khusus untuk membesarkan atau memontokkan payudara boleh berbahaya kerana kita tidak mengetahui kandungan dan kuantiti estrogen yang digunakan, sama ada ia berlebihan atau tidak,” katanya.
IMedikel TV






