KUALA TERENGGANU: Pemain perlu belajar daripada kesilapan mudah bagi mengelak penyakit itu kembali berulang pada perlawanan seterusnya.
Memetik laporan Harian Metro, ini peringatan disuarakan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali selepas anak buahnya nyaris ‘digari’ PDRM pada aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Penyu hampir dimalukan selepas ketinggalan dengan dua jaringan The Corp yang dihasilkan Doumbia Henri sebelum bangkit mengikat kedudukan 2-2 di penghujung permainan menerusi Azam Azmi Murad dan Yann Mabella.
Aksi serba tidak menjadi selain bukan gaya sebenar diperagakan anak buah Badrul Afzan memperlihatkan setiap gerakan dirancang mudah dipatahkan barisan pelawat kendalian Eddy Gapil.
Badrul Afzan mengakui kecewa dengan keputusan serta corak permainan awal pemainnya sebelum Azam Azmi dan Mabella tampil sebagai penyelamat maruah pasukan.
“Bagi saya pada 10 minit awal, pemain kita beraksi terlalu perlahan dan berhati-hati dan apabila PDRM menjaringkan gol, baharu kita nak bangkit untuk menyumbat gol, jadi tindakan itu lambat.
“Dua jaringan lawan saya lihat adalah gol mudah, barisan pertahanan tidak berkomunikasi dengan baik.
“Mabella pula tidak berjaya menjaringkan gol biarpun berpeluang, ini masalah utama kita, kesilapan dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi kami idam kemenangan kedua apabila bermain di tempat sendiri.
“Tapi secara keseluruhannya hanya dua kesilapan itu sahaja dilakukan pemain, jadi mereka perlu belajar daripada kesilapan berkenaan dan tidak mengulanginya selepas ini.
“Apa-apapun, tahniah kepada pemain berjaya bangkit menyamakan kedudukan bagi mengelak kecewa di laman sendiri biarpun saya lihat bukan mudah untuk menyaingi PDRM,” ujar Badrul Afzan.
TFC yang menang 3-0 ke atas Penang FC, Ahad lalu sekali lagi bagi bertandang ke Pulau Pinang untuk berdepan Imigresen FC pada aksi pertama Pusingan 16 Piala FA di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, pada petang Ahad ini. – HMetro Online –
IMedikel TV






