Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap kegiatan penipuan yang menggunakan kod QR DuitNow produk-produk wakaf yayasan itu bagi memperdaya masyarakat melakukan transaksi kewangan ke akaun tidak sah.
YWM dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima aduan berhubung penyalahgunaan kod QR DuitNow yang dikaitkan dengan produk wakaf kendaliannya oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut YWM, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kepentingan para pewakaf serta orang awam daripada menjadi mangsa penipuan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak terburu-buru dalam membuat sebarang transaksi kewangan yang melibatkan pewakafan.
“Setiap transaksi hendaklah disemak terlebih dahulu dan dipastikan nama penerima yang dipaparkan adalah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sebelum pembayaran disahkan,” menurut kenyataan itu.
YWM turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan nombor akaun dan nama penerima yang dipaparkan ketika transaksi adalah milik Yayasan Waqaf Malaysia atau nama produk wakaf yang sah di bawah yayasan berkenaan.
“Selain itu, orang ramai diminta supaya tidak meneruskan pembayaran sekiranya nama penerima yang tertera tidak sepadan dengan nama rasmi YWM atau mana-mana produk wakafnya.
“Sebagai langkah keselamatan tambahan, YWM menasihatkan orang ramai agar tidak mengimbas kod QR DuitNow yang diterima daripada sumber tidak sah atau meragukan, selain mendapatkan pengesahan melalui saluran rasmi yayasan sekiranya timbul sebarang keraguan sebelum membuat transaksi,”jelas kenyataan itu.
Menurut YWM, semua transaksi pewakafan hendaklah dilakukan melalui saluran rasmi yang disediakan bagi memastikan sumbangan yang diberikan sampai kepada penerima yang sah dan digunakan untuk tujuan pewakafan yang ditetapkan.
YWM turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan identiti, penyelewengan atau penipuan yang menggunakan nama serta reputasi institusi itu.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penipuan berkenaan diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa serta memaklumkan kepada YWM bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
IMedikel TV






