Home Sukan ATLET OLAHRAGA UGANDA ‘DITIKAM HINGGA MATI’

ATLET OLAHRAGA UGANDA ‘DITIKAM HINGGA MATI’

NAIROBI: Atlet Uganda, Benjamin Kiplagat ditemui mati di Kenya, menurut polis semalam ketika media tempatan melaporkan dia ditikam hingga mati.

Kiplagat, 34, yang dilahirkan di Kenya, mewakili Uganda pada peringkat antarabangsa dalam acara 3,000m lari berhalangan, termasuk pada beberapa temasya Sukan Olimpik dan Kejohanan Olahraga Dunia.

Mayatnya ditemui dalam sebuah kereta pada malam Sabtu di pinggir bandar Lembah Rift, Eldoret, yang menjadi tumpuan ramai atlet untuk menjalani latihan di kawasan altitud tinggi itu.

“Satu siasatan dimulakan dan pegawai berada di lapangan untuk mencari bukti,” kata komander polis tempatan Stephen Okal memberitahu wartawan di Eldoret.

Beliau berkata, satu pisau tertanam di tengkuk Kiplagat, menjurus kepada andaian dia ditikam.

Akhbar Uganda, Daily Monitor dan media lain di Kenya melaporkan dia ditikam hingga mati.

“World Athletics terkejut dan sedih mendapat tahu pemergian Benjamin Kiplagat,” kata badan induk olahraga global itu dalam satu kenyataan di laman X.

“Kami mengucapkan takziah kepada rakan-rakan, keluarga, rakan sepasukan dan rakan-rakan atlet. Kami bersama mereka pada saat yang sukar ini.”

Laporan media menyebut Kiplagat berlatih di kawasan Eldoret sebelum pergi ke Uganda untuk mengambil bahagian dalam kejohanan olahraga.

Kiplagat, dengan karier lariannya kira-kira 18 tahun, menang pingat perak dalam acara 3,000m lari berhalangan pada Kejohanan Remaja Dunia 2008 dan gangsa pada Kejohanan Afrika 2012.

Dia layak ke separuh akhir acara itu pada temasya Olimpik London 2012 dan turut bertanding pada Rio 2016. – AFP-BH Online-

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here