WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dijangka menghantar ribuan lagi anggota tentera ke Asia Barat, menurut dua sumber dalaman tentera kepada Reuters semalam.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, sumber membabitkan pegawai tentera AS itu memaklumkan Pentagon dijangka menempatkan ribuan anggota daripada Divisyen Lintas Udara ke-82 Tentera Darat AS, sekali gus menambah kekuatan ketenteraan negara itu di rantau berkenaan.
Reuters pada 18 Mac lalu melaporkan bahawa pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan untuk mengerahkan ribuan lagi tentera AS.
Langkah itu berpotensi memperluaskan operasi termasuk kemungkinan penempatan pasukan di dalam wilayah Iran, sekali gus bakal meningkatkan ketegangan konflik yang kini memasuki minggu keempat dan memberi kesan kepada pasaran global.
Pegawai terbabit yang enggan dikenali bagaimanapun tidak menyatakan lokasi tepat di Asia Barat yang akan menjadi destinasi pasukan berkenaan atau bila kumpulan itu akan tiba di rantau berkenaan. Sumber itu menjelaskan tentera berkenaan dilaporkan kini ditempatkan di Fort Bragg di Carolina Utara.
Kenyataan Tentera AS itu merujuk pertanyaan kepada Rumah Putih yang memaklumkan semua pengumuman berkaitan penempatan tentera akan dibuat oleh Pentagon.
“Kami sudah menyatakan sebelum ini bahawa Presiden Trump sentiasa mempunyai semua pilihan ketenteraan,” kata jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly.
Menurut satu sumber lagi, setakat ini belum ada keputusan dibuat untuk menghantar tentera ke dalam Iran, namun langkah untuk menambah anggota di rantau itu dilihat sebagai usaha meningkatkan keupayaan bagi kemungkinan operasi pada masa hadapan.
Satu daripada sumber berkata, Pentagon dijangka menghantar antara 3,000 hingga 4,000 anggota tentera.
Penempatan itu menyusuli laporan Reuters pada 20 Mac lalu mengenai keputusan AS menghantar ribuan anggota marin dan kelasi menaiki kapal serangan amfibia USS Boxer bersama Unit Ekspedisi Marin serta kapal perang pengiring ke Asia Barat.
Sebelum penghantaran tambahan pasukan itu, terdapat kira-kira 50,000 anggota tentera AS sudah berada di rantau berkenaan.
Berita mengenai pengukuhan pasukan itu muncul sehari selepas Trump menangguhkan ancaman untuk mengebom loji tenaga Iran dengan menyatakan terdapat rundingan yang “membina” dengan negara itu.
Bagaimanapun, selepas kenyataan Trump di platform Truth Social kelmarin, Iran menafikan sebarang rundingan sudah diadakan.
AS dilaporkan sudah melancarkan serangan terhadap 9,000 sasaran di dalam Iran sejak operasi ketenteraan AS dan Israel terhadap negara itu bermula pada 28 Februari.
Seorang pegawai AS berkata, setakat ini 13 anggota tenteranya terbunuh dalam perang berkenaan manakala 290 lagi cedera. Daripada jumlah itu, kira-kira 10 masih mengalami kecederaan serius, sementara 255 anggota sudah kembali bertugas. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






