LONDON: Mohamed Salah boleh dianggap antara pemain terhebat dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, bintang Liverpool itu mengesahkan akan meninggalkan Anfield pada penghujung musim ini selepas sembilan tahun mencipta legasi luar biasa.
Sepanjang tempoh itu, Salah memenangi hampir kesemua trofi utama termasuk dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Piala FA, dua Piala Liga, serta Liga Juara-Juara Eropah.
Bintang Mesir itu turut menjulang Piala Super UEFA, Piala Dunia Kelab dan Perisai Komuniti.
Apa yang membezakan Salah adalah konsistensi luar biasa dalam menghasilkan gol dan bantuan jaringan.
Sejak menyertai Liverpool pada tahun 2017, beliau menjaringkan 189 gol dan mencatat 92 bantuan dalam 310 perlawanan liga -menjadikan jumlah keseluruhan 281 sumbangan gol, rekod tertinggi untuk seorang pemain bersama satu kelab dalam sejarah Liga Perdana.
Pencabar terdekat dalam tempoh sama ialah bekas pemain Tottenham Hotspur, Son Heung-min, yang mencatat 173 sumbangan gol – ketinggalan jauh 108 di belakang Salah.
Pemain lain seperti Kevin De Bruyne (150) dan Bruno Fernandes (137) juga tidak mampu menyaingi angka berkenaan.
Ketika menjuarai liga musim lalu, Salah mencatat 47 sumbangan gol – rekod tertinggi bagi musim 38 perlawanan.
Jaringannya ketika menentang Brighton & Hove Albion pada Disember lalu turut meletakkannya mengatasi Wayne Rooney daripada segi jumlah sumbangan gol bersama satu kelab.
Secara keseluruhan, Salah mencatat 373 sumbangan gol dalam semua pertandingan – 255 gol dan 118 bantuan jaringan.
Di Anfield, beliau juga memegang rekod sumbangan gol terbanyak di satu stadium dengan 152, mengatasi legenda Arsenal, Thierry Henry (151).
Menurut data Opta, sejak menyertai Liverpool, Salah turut mendahului dalam beberapa statistik utama termasuk peluang dicipta (534), percubaan (1,104), percubaan tepat (480) dan sentuhan dalam kotak penalti lawan (2,717).
Prestasi cemerlang itu turut membolehkannya memenangi Kasut Emas Liga Perdana sebanyak empat kali – menyamai rekod Henry – selain meraih tiga anugerah Pemain Terbaik PFA.
Walaupun begitu, Salah masih berada di tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liverpool, di belakang Ian Rush (346 gol) dan Roger Hunt (285 gol).
Liverpool juga dianggap membuat pelaburan bijak apabila mendapatkan Salah dari AS Roma dengan nilai 36.9 juta pound (RM193.73 juta) hampir sedekad lalu.
Salah kini dijangka menyertai kelab Liga Pro Saudi musim panas ini, dengan Al-Hilal dan Al-Ittihad antara pasukan yang pernah menunjukkan minat terhadapnya. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






