Home Hiburan TRACIE TERUJA KENALI BUDAYA SAMBUT RAYA

TRACIE TERUJA KENALI BUDAYA SAMBUT RAYA

92
0

KUALA LUMPUR: Kehangatan sambutan Aidilfitri membuka lembaran pengalaman baharu buat pelakon, Tracie Sinidol, dalam mendekati serta memahami budaya masyarakat Melayu sejak menetap di ibu kota.

Meemtik laporan Berita Harian, Tracie, 25, berkata sebelum ini dia hanya berpeluang merasai suasana Aidilfitri secara sederhana ketika zaman persekolahan di Sabah.

“Sebelum ini, di Sabah saya hanya sambut raya ketika di sekolah sahaja.

“Namun, selepas berpindah ke Kuala Lumpur, saya jarang menyambut Aidilfitri, mungkin kerana rakan-rakan masing-masing lebih memberi tumpuan kepada keluarga,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, sambutan Aidilfitri tahun ini membawa kelainan apabila Tracie menerima pelbagai undangan rumah terbuka.

Katanya, peluang itu membolehkannya mengenali dengan lebih dekat adat dan tradisi masyarakat Melayu.

“Tahun ini saya terima banyak jemputan hari raya dan saya rasa sangat gembira.

“Saya memang suka makan, jadi bila melihat pelbagai juadah tradisional, saya sangat teruja. Selain itu, saya dapat belajar mengenai budaya raya yang berbeza dengan sambutan Krismas,” katanya.

Menurut Tracie, minatnya untuk mencuba sesuatu yang baharu mendorongnya menikmati pelbagai hidangan tradisional.

“Saya memang suka meneroka perkara baharu. Dalam masa sama, saya dapat memahami budaya dan bangsa lain.

“Saya sudah cuba makanan tradisi seperti lemang, soto dan laksam, semuanya sangat asli dan sedap,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tracie berkata dia kini semakin selesa menggayakan baju kurung setiap kali menghadiri majlis rumah terbuka.

“Sekarang banyak jemputan, jadi saya sudah mempunyai beberapa helai baju kurung,” katanya.

Malah, pelakon drama rantaian Hilang Dalam Rindu 2 itu turut menyimpan hasrat untuk mempelajari penyediaan hidangan tradisional seperti rendang dan lemang.

“Untuk masakan raya, saya ada cuba belajar, tetapi hidangan seperti rendang memerlukan kesabaran.

“Buat masa ini, saya hanya mampu menyediakan biskut mudah seperti cornflakes,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here