KUALA LUMPUR: “Dia bawa separuh nyawa saya pergi, tetapi dalam masa sama saya bangga dapat berkhidmat kepada suami dengan memberikan sebelah buah pinggang.
Demikian luahan penuh emosi balu pelakon Allahyarham Along Eyzendy, 47, Hamidah Mohd Yatim, yang reda dengan pemergian suami tercinta.
Memetik laporan menerusi Berita Harian Hamidah berkata, dia mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada arwah enam tahun lalu dengan penuh keikhlasan, tanpa mengharapkan sebarang balasan, demi melihat suaminya kembali sihat.
“Mungkin itu rezeki saya dan saya berharap pengorbanan itu menjadi asbab untuk saya ke syurga,” katanya kepada BH Online.
Menurut Hamidah, kesihatan pelakon filem Legenda Budak Hostel itu mula merosot kira-kira dua minggu lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.16 pagi di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang.
Hamidah berkata, sebelum ditidurkan pada Khamis lalu, arwah menunjukkan perubahan apabila sering mahu dia berada di sisi.
“Arwah tak menunjukkan perubahan ketara, tetapi dia tak mahu saya tinggalkan dia bersendirian di hospital. Katanya rawatan kali ini agak sakit.
“Keadaannya semakin lemah dan kebanyakan masa memang saya yang menguruskan dia di atas katil. Bila arwah semakin tidak larat, dia perlu memakai lampin pakai buang dan dia tak mahu orang lain menguruskan dirinya. Arwah hanya mahu saya,” katanya.
Hamidah berkata, dia merahsiakan keadaan kesihatan suaminya daripada pengetahuan umum atas permintaan arwah yang sememangnya tidak gemar berkongsi masalah secara terbuka.
Bagaimanapun, apabila pihak hospital mengambil keputusan menidurkan Along, Hamidah membuat keputusan memaklumkan perkara itu kepada rakan-rakan artis bagi mendapatkan doa.
“Bukan tiada rakan artis yang datang menziarah, tetapi arwah seorang yang tertutup. Bila dia ditidurkan, barulah saya beritahu rakan-rakan arwah untuk minta doa, bukan untuk perhatian.
“Ramai bertanya kenapa saya tak maklumkan lebih awal, bukan saya sengaja. Itu permintaan suami dan sebagai isteri, saya perlu taat. Jika arwah masih hidup, pasti dia akan bertanya kenapa saya buat begitu,” katanya.
Hamidah turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan artis yang hadir memberi sokongan sepanjang arwah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSIS.
“Saya tak mampu sebut satu persatu, tetapi ramai yang sangat baik, antaranya Pablo Amirul yang banyak mengambil berat keadaan arwah. Begitu juga Zul Huzaimy, Soya, Ellie Suriaty dan ramai lagi.
“Pablo, Zul Huzaimy dan Soya berada di sisi suami sehingga selesai urusan pengebumian,” katanya.
Berkongsi keperibadian suami, Hamidah menyifatkan arwah sebagai seorang yang sangat baik, penyayang dan bertanggungjawab.
“Saya bukan sahaja kehilangan suami, tetapi juga sahabat karib. Dia tak pernah paksa saya buat kerja rumah jika saya tak larat, malah sering memanjakan saya.
“Arwah juga selalu ingatkan anak-anak supaya menjaga saya dan melayan saya dengan baik,” katanya.
Hamidah berkata, dia masih belum memikirkan mengenai kelangsungan hidupnya bersama tiga anak mereka yang berusia 10, 15 dan 17 tahun.
“Biarlah saya habiskan tempoh idah dahulu, selepas itu baru saya fikirkan langkah seterusnya,” katanya.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga pada jam 12.16 tengah malam semalam selepas tiga hari bertarung nyawa di ICU, HSIS.
Jenazah pelakon teater Dang Anum itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang, Johor pada jam 9.30 pagi semalam. – BH Online –
IMedikel TV






