Home Sukan ARSENAL ADA KELEBIHAN – GUARDIOLA

ARSENAL ADA KELEBIHAN – GUARDIOLA

122
0

LONDON: Arsenal mempunyai kelebihan ke atas Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti berdasarkan jadual padat juara treble itu pada penghujung musim lalu, kata Pep Guardiola.

Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian, City mengharungi penutup musim yang sukar selepas kejayaan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA, manakala Arsenal hanya memberi tumpuan kepada kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

City, yang memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah sulung mereka pada Jun, akan memulakan kempen 2023-24 menentang naib juara liga, Arsenal dalam aksi pembuka tirai Liga Perdana Inggeris esok.

“Situasi yang kami harungi, kami menamatkan musim lalu dua minggu selepas Arsenal dan memulakan musim ini dua minggu kemudian. Jadi kami tidak berada dalam keadaan terbaik.

“Kami bergelut untuk memulakan setiap musim, tetapi tidak mengapa, dan saya harap mentaliti kami akan membantu untuk terus bersaing,” kata pengendali City, Guardiola.

Pengendali Arsenal, Mikel Arteta sedang berusaha merapatkan jurang di puncak liga, dan Guardiola percaya kelab London Utara itu sudah diperkuat barisan pemain-pemain baharu berkualiti.

Ketibaan pemain tengah England, Declan Rice dari West Ham United, Kai Havertz dari Chelsea dan pertahanan Ajax Amsterdam, Jurrien Timber mengukuhkan lagi kesebelasan utama Arsenal.

“Rice memilih untuk ke Arsenal, saya ucapkan selamat maju jaya. Dia seorang yang baik, penting untuk pasukan England. Arsenal membeli pemain yang sangat bagus.

“Mereka tidak membeli pemain untuk memberi pilihan lebih luas kepada skuad, mereka membeli pemain kesebelasan utama,” katanya.

Guardiola menekankan hasratnya untuk mengekalkan pertahanan England, Kyle Walker, yang mempunyai baki setahun dalam kontraknya bersama City.

Walker berada dalam radar Bayern Munich, manakala seorang lagi pemain City, Bernardo Silva menarik minat kelab Sepanyol, Barcelona.

City bakal diperkuat pertahanan RB Leipzig dari Croatia, Josko Gvardiol yang kini sedang melengkapkan pemeriksaan perubatan. – REUTERS, BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here