Home Buletin Semasa AROMA AYAM PERCIK KAK JAH PIKAT PELANGGAN, JUALAN RAMADAN LONJAK ENAM KALI...

AROMA AYAM PERCIK KAK JAH PIKAT PELANGGAN, JUALAN RAMADAN LONJAK ENAM KALI GANDA

213
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Asap nipis beralun di atas bara api bersama deretan ayam percik dipanggang di gerai Ayam Percik Kak Jah di Jalan Pasir Mas-Salor di sini, membuatkan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan mereka.

Bukan itu sahaja aroma yang menyelerakan itu sudah menjadi pilihan utama peminat ayam percik itu setiap kali Ramadan, sekali gus melonjakkan jualan hingga enam kali ganda berbanding hari biasa.

Bagi pengusahanya Wan Marini Wan Mohd Nazi, 43, peningkatan itu sudah menjadi rutin setiap kali Ramadan apabila pelanggan mula datang seawal tengah hari untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

“Biasanya sebanyak 200 ekor ayam digunakan setiap hari,namun pada waktu kemuncak jumlahnya boleh meningkat sehingga 250 ekor sehari.

“Pelanggan datang dari pelbagai tempat seperti Kota Bharu, Jeli, Gua Musang dan Tanah Merah. Kadang-kadang ada juga pelanggan dari Kuala Lumpur yang singgah membeli apabila pulang ke kampung,”katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Wan Marini yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya, Saifullizam Yasok, 45, berkata, proses membakar ayam bermula seawal jam 10 pagi sebelum jualan dibuka sekitar jam 12.30 tengah hari.

“Biasanya tidak sampai jam 6.30 petang ayam sudah habis terjual,”katanya.

Katanya keistimewaan ayam percik yang dijual terletak pada penggunaan ayam segar yang dibakar secara mentah tanpa direbus terlebih dahulu.

“Keistimewaan ayam percik kami ialah ayam dibakar segar tanpa direbus terlebih dahulu. Kebanyakan tempat rebus ayam dahulu sebelum bakar, tetapi kami terus bakar ayam mentah yang masih segar.

“Apabila dibakar, air daripada ayam itu akan keluar sendiri dan menjadikan rasanya lebih manis serta berjus,” katanya.

Wan Marini berkata setiap pusingan pembakaran mengambil masa kira-kira 25 minit sebelum ayam siap disapu kuah percik dan dijual kepada pelanggan.

Katanya, kuah percik yang digunakan juga dibuat menggunakan santan sepenuhnya tanpa dicampur air bagi memastikan rasanya lebih pekat dan berlemak.

“Kuah percik pula menggunakan santan dan masih mengekalkan resipi keluarga sejak 33 tahun lalu,”katanya.

Selain ayam percik yang dijual pada harga RM10.50 seketul, gerai itu turut menawarkan kepak ayam percik, keropeh ayam berharga RM4 serta ikan yang dijual antara RM6 hingga RM8 seekor.

Namun katanya, ayam percik kekal menjadi pilihan paling tinggi dalam kalangan pelanggan.

Wan Marini berkata, perniagaan itu kini dibantu lebih 20 pekerja yang kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga termasuk ibu tunggal.

Tambahnya bagi memenuhi permintaan pelanggan, mereka juga menyediakan ayam percik sejuk beku selain membuka ejen jualan ayam percik di beberapa lokasi termasuk Cherang dan Pintu Geng bermula tahun ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here