Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
TUMPAT: Seorang anggota polis trafik berusia 28 tahun patah paha kiri selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Kubang Panjang, semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata dalam kejadian pada 12.50 tengah hari itu, anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan menghala ke Pengkalan Kubor dari Kota Bharu.
Mohd Khairi berkata anggota berpangkat konstabel itu menunggang motosikal jenis CBX 750 atas tugasan rasmi kawalan lalu lintas sempena lawatan kerja Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah van jenis Nissan Vannete C22 dipandu oleh seorang lelaki berusia 50-an yang berada di hadapan anggota itu telah membelok ke kanan.
“Anggota berkenaan cuba mengelak ke kanan tetapi gagal dan terlanggar pintu van itu sehingga mengakibatkan beliau mengalami kecederaan parah selepas paha kirinya patah,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya anggota itu dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat Inspektor Ibrahim Usman menerusi talian 010-9069696.
IMedikel TV






