MADRID: Pengurus Real Madrid Carlo Ancelotti berkata, dia tetap gembira dengan kemenangan 3-0 ke atas Valladolid walaupun skuadnya tampil hambar dalam aksi LaLiga, awal pagi tadi.
Kylian Mbappe, Vinicius Jr dan Rodrygo bergelut menembusi gawang lawan sehingga memaksa Ancelotti memasukkan Brahim Diaz dan Endrick dengan kedua-duanya menjaringkan gol pada lewat perlawanan selepas Federico Valverde memecah kebuntuan minit ke-50.
“Apabila menang saya perlu gembira apatah lagi kesukaran kami hadapi terutamanya pada babak pertama, kami perlahan dan lembut,” kata Ancelotti ketika sidang media.
“Kami bertambah baik selepas rehat, lebih lancar dan pantas kuasai bola. Saya gembira dengan pemain simpanan yang cemerlang membalas kepercayaan dan mereka memanfaatkan peluang beberapa minit yang ada.
“Menentukan senarai kesebelasan selalunya sukar, ia membuatkan saya agak sedih walaupun ia tanggungjawab saya. Saya yang perlu menentukan barisan pemain.”
Ancelotti berkata, dia berharap pemain tonggaknya kurang mementingkan diri dan boleh minta digantikan jika kepenatan susulan aksi awal musim berlangsung dalam cuaca panas.
Ancelotti menambah, dia tidak bimbang dengan ketumpulan Mbappe dan menolak kemungkinan menukar posisinya selain berharap penyokong bersabar susulan kapten Perancis itu masih dalam proses penyesuaian dengan rakan sepasukan baharunya. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






