MEXICO CITY: Juara dunia tinju, Canelo Alvarez, secara rasmi menandatangani kontrak empat pertarungan bersama Riyadh Season, sekali gus menepis spekulasi bahawa dia hampir mencapai kesepakatan untuk bertarung dengan Jake Paul pada Mei ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Pihak Berkuasa Hiburan Umum Arab Saudi, Turki Alalshikh, namun butiran kewangan perjanjian itu tidak didedahkan.
Menurut laporan Ring Magazine, Alvarez dijangka akan menentang juara kelas welter, Terence Crawford, pada September selepas satu pertarungan di Arab Saudi pada Mei.
Dua lagi pertarungan dalam kontrak itu dijadualkan berlangsung pada Februari dan Oktober 2026 di Arab Saudi.
MMA Junkie pula melaporkan bahawa perlawanan Alvarez-Crawford dijangka berlangsung di Stadium Allegiant, Las Vegas.
Dalam video yang dimuat naik ke media sosial X, Alalshikh tidak menamakan lawan Alvarez pada September tetapi menyifatkan pertarungan itu sebagai ‘perlawanan terbesar dalam sejarah tinju’.
Alvarez, 34, yang berasal dari Guadalajara, Mexico, kini memegang gelaran juara dunia super middleweight dan pernah merangkul kejuaraan dunia dalam kategori light heavyweight, middleweight, serta light middleweight.
Rekodnya kini adalah 62 kemenangan, dua kekalahan dan dua seri.
Crawford, 37, dari Nebraska, Amerika Syarikat, pula belum pernah tewas dalam 41 pertarungan profesionalnya dan kini juara kelas welter serta pemegang tali pinggang WBA junior middleweight.
Sementara itu, pihak promosi Jake Paul, Most Valuable Promotions, mengeluarkan kenyataan mengecam kem Alvarez dan pihak lain berhubung keputusan tersebut. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






