Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menahan dua lagi penunggang motosikal bersama dua pembonceng yang dipercayai terbabit dalam aksi ‘wheelie’ berbahaya seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
JSPT Kuala Lumpur dalam hantaran di laman rasmi hari ini memaklumkan, tangkapan dilakukan hasil tindakan susulan Unit Risikan/Operasi (RO) selepas video memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Jalan P. Ramlee menjadi tular.
Menurut kenyataan itu, suspek berjaya dikesan dan ditahan pada kira-kira jam 12.54 tengah malam tadi.


“Tangkapan membabitkan dua penunggang motosikal lelaki serta dua pembonceng perempuan berumur antara 15 hingga 18 tahun.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain,”menurut kenyataan tersebut.
JSPT Kuala Lumpur menegaskan pihaknya memandang serius kegiatan samseng jalanan yang bukan sahaja membahayakan pelaku, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Sehubungan itu, usaha pengesanan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti berkenaan daripada terus berleluasa,”menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, polis memaklumkan masih giat mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian tersebut, termasuk individu yang merakam dan menyebarkan video aksi berbahaya itu di media sosial.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap semua pihak yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,”menurut kenyataan tersebut..
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti samseng jalanan dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan semua pihak.
IMedikel TV






