LIVERPOOL: Jack Grealish mengakui bahawa Adam Wharton lebih layak menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan walaupun dirinya diumumkan sebagai pemenang selepas Everton menang dramatik 2-1 ke atas Crystal Palace hasil jaringan minit ke-93 di Stadium Hill Dickinson.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Palace mendahului di babak pertama menerusi Daniel Munoz, namun Iliman Ndiaye menyamakan kedudukan pada minit ke-76 menerusi sepakan penalti.
Ketika perlawanan hampir berakhir, Munoz cuba mengeluarkan bola tetapi sepakannya terkena Grealish sebelum bola melantun masuk ke gawang sendiri untuk memastikan tiga mata buat skuad kendalian David Moyes itu.
Bercakap kepada Sky Sports selepas perlawanan, pemain berusia 30 tahun itu berkata: “Sebagai pemain sayap, itulah yang anda mahu lakukan – saya ada satu gol dan empat bantuan gol dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.
“Ia sukar menentang pasukan hebat seperti Palace yang memiliki pemain-pemain luar biasa. Adam Wharton hari ini luar biasa. Saya nampak anugerah Pemain Terbaik di situ, tetapi saya rasa ia sepatutnya diberikan kepadanya kerana pada pandangan saya dia pemain terbaik di atas padang.”
Selepas menerima trofi berkenaan, Grealish tersenyum sambil berkata: “Terima kasih, ini yang ketiga untuk saya musim ini – jadi kita ambil saja!”
Walaupun menunjukkan prestasi cemerlang sejak dipinjamkan dari Manchester City, Grealish tetap tidak tersenarai dalam skuad England kendalian Thomas Tuchel bagi aksi antarabangsa minggu depan.
“Sudah tentu saya mahu bermain baik untuk kelab kerana itu kerja kami setiap minggu. Tapi secara jujurnya, semua pemain sayap kiri England sekarang bermain baik – Rashy (Marcus Rashford), Eze, Anthony Gordon, semuanya hebat. Jadi saya tak boleh mengeluh. Saya cuma perlu terus bermain baik dan beri impak,” kata Grealish.
Tuchel ketika mengumumkan senarai pemainnya menjelaskan beliau “tidak ada sebarang masalah” dengan Grealish.
“Jack tahu saya nampak betapa besar pengaruhnya untuk Everton dan dia sedang menuju ke versi terbaik dirinya,” kata Tuchel. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






