Home Hiburan ACHEY HARAP YANG TERBAIK BUAT NEGERI KELAHIRAN

ACHEY HARAP YANG TERBAIK BUAT NEGERI KELAHIRAN

24
0

KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyanyi, Achey, 40, menyifatkan proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini berjalan lancar dan sistematik.

Memetik laporan Harian Metro, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah berkata, pembahagian saluran mengundi yang dilakukan secara teratur melancarkan pergerakan pengundi sekali gus mengelakkan kesesakan di pusat pembuangan undi.

“Pengalaman mengundi tahun ini sangat bagus disebabkan pihak pengurusan menyediakan lorong khas mengikut pecahan saluran satu, dua dan tiga. Proses itu berjalan sangat pantas dan cepat.

“Kakak saya yang datang dari Batu Pahat untuk mengundi di Labis pun mengambil masa tidak sampai lima minit untuk menyelesaikan proses itu. Alhamdulillah,” katanya kepada Harian Metro.

Achey yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Sungai Karas, Labis bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok berkata, situasi di pusat mengundi kelihatan terkawal meskipun orang ramai hadir untuk mengundi. 

“Pengundi agak ramai tetapi proses keluar masuk sangat lancar dan cepat. Kalau dulu mungkin nampak sesak sebab pecahan saluran tidak dibuat sebegini.

“Bagaimanapun, kehadiran paling ramai setakat ini dilihat menerusi saluran satu dan dua. Saya berharap saluran tiga yang membabitkan golongan anak muda akan tampil lebih ramai lagi untuk mengundi,” katanya.

Ditanya mengenai harapannya terhadap PRN Johor kali ini, Achey menegaskan, dia tidak memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya mahukan yang terbaik demi masa hadapan negeri kelahirannya itu.

“Masyarakat mengharapkan sesuatu yang lebih baik, kekalkan apa yang sudah bagus, tambah baik kekurangan dan terus majukan Johor pada masa akan datang. Bagi saya, saya tidak kisah siapa pun yang menang.

“Jangan disebabkan perbezaan parti ketika berkempen sebelum ini, pihak yang menang menidakkan pula kebajikan orang yang kalah. Apabila sudah menang di sesebuah kawasan, seluruh masyarakat di situ menjadi tanggungjawab untuk dijaga dan disantuni,” kongsinya.

Dalam pada itu, Achey turut menitipkan pesanan mendalam buat bakal wakil rakyat yang bakal dipilih agar memikul amanah tersebut dengan penuh sifat kepimpinan.

“Tidak kisahlah sebelum ini rakyat berjuang untuk parti apa, jadilah seorang pemimpin dan bukannya seorang bos. Saya berharap Johor akan terus menjadi lebih hebat dan dahsyat menerusi PRN kali ini,” ujarnya.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here