BARCELONA: Biarpun perbuatannya membuang air kecil dalam mangkuk adunan kantoi, namun seorang pekerja di kedai bakeri bertuah menerima pampasan lebih 20,000-pound sterling bersamaan RM115,907 daripada majikannya.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, mahkamah tinggi Catalonia memutuskan kedai bakeri, Neucroissant, di Barcelona menyalahi undang-undang apabila mengumpul bukti daripada kamera di bilik persalinan.
Wanita itu, menerima surat pemecatan semasa bercuti sakit pada 2018 sebelum dia membawa kes itu ke mahkamah.
Akhirnya, keputusan berpihak kepada wanita itu kerana di bawah undang-undang Sepanyol, kamera tidak boleh dipasang di kawasan yang digunakan kakitangan untuk rekreasi dan rehat.
Ini bermakna, rakaman di tempat seperti bilik persalinan, ruang makan dan tandas adalah pelanggaran privasi.
Mahkamah juga mendengar, kedai bakeri itu tidak mempunyai bilik persalinan yang ditetapkan hingga menyebabkan pekerja terpaksa menukar pakaian di kawasan yang juga digunakan untuk proses pengeluaran.
Malah, pekerja juga tidak diberitahu mengenai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
Pihak Neucroissant mendakwa, kamera itu sah kerana ia dipasang di kawasan pengeluaran makanan.
Bagaimanapun, dakwaan itu tidak relevan sebelum mahkamah memutuskan syarikat itu perlu membayar itu 21,100-pound sterling (RM122,282) kepada wanita itu.
Terdahulu rakaman CCTV itu menunjukkan, wanita berkenaan membongkok sebelum membuang air kecil beberapa kali ke dalam bekas adunan yang digunakan untuk membuat produk roti di kedai itu.
Neucroissant mengupah sebuah syarikat detektif untuk menjejaki pergerakan wanita itu yang mengesahkan dia mencangkung dan membuang air kecil dalam mangkuk adunan.
Wanita itu didapati membasuh peralatan itu dengan air selepas membuang air kecil sebelum menggunakannya semula untuk membuat adunan baharu.
Ia menyebabkan Neucroissant memecat wanita itu.
-AGENSI, HMETRO ONLINE-
IMEDIKEL TV






