LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya 189 mayat dikeluarkan dari sebuah rumah pengurusan mayat di Colorado, Amerika Syarikat, lapor Sky News.
Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro, mayat yang reput dan disimpan dengan tidak betul itu mula ditemukan dua minggu lalu selepas laporan mengenai bau yang menjijikkan datang dari sebuah bangunan di rumah pengebumian Return to Nature Funeral Home itu.
Pada mulanya, jumlah mayat tidak dapat disahkan. Kemudian, kesemua mayat dikeluarkan pada Jumaat, tetapi pegawai berkata jumlah sebenar jasad boleh berubah apabila pengecaman dijalankan.
Syerif Daerah Fremont, Allen Cooper menyifatkan kejadian di dalam rumah pengurusan mayat itu sebagai mengerikan.
Pihak berkuasa pertama kali memasuki rumah pengurusan mayat itu pada 4 Oktober lalu, selepas jiran menghidu bau busuk selama beberapa hari.
Rumah pengurusan mayat itu mengiklankan pembakaran mayat dan ‘pengebumian hijau’.
‘Pengebumian hijau’ adalah sah di bawah undang-undang Colorado.
Mayat yang tidak dikebumikan dalam tempoh 24 jam, bagaimanapun, mesti disejukkan dengan betul.
Pegawai terbabit berkata, mereka akan mula memaklumkan ahli keluarga dalam beberapa hari selepas identiti mayat itu dikenal pasti.
Bagaimanapun, proses itu mungkin mengambil masa selama beberapa minggu terutama dalam mengenal pasti mayat yang ditemui dan selain memerlukan pengambilan cap jari, mencari rekod perubatan atau pergigian, dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Sehingga minggu lalu, lebih 120 keluarga bimbang jika jenazah saudara mereka mungkin menjadi antara yang terbabit.
– AGENSI, HMetro Online –
IMEDIKEL TV






