PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan yang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak sesekali masuk campur dalam urusan pemilihan barisan kepimpinan mana-mana sukan.
Memetik laporan menerusi berita harian,Perkara itu dimaklumkan Hannah selepas mesyuarat Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara sebulat suara memilih Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai pengganti kepada presiden ketika ini, Tan Sri Mohammad Norza Zakaria.
“Itu adalah keputusan mereka sendiri (BAM). KBS tidak masuk campur dalam pemilihan AJK badan sukan. Kita tak campur tangan, itu terpulang kepada BAM siapa yang mereka pilih,” kata Hannah ketika ditemui media selepas majlis penyerahan hadiah kemenangan berbentuk jam tangan pintar kepada pemenang pingat di Sukan Asia Hangzhou oleh Huawei, hari ini.
“Namun sesiapa sahaja yang mereka pilih, MSN akan bekerjasama kerana yang paling penting adalah kebajikan atlet terjaga dan pembangunan sukan berjalan lancar.
BAM dalam satu hantaran di aplikasi X memaklumkan yang Tengku Zafrul secara sebulat suara dipilih bagi menggantikan Norza dan satu garis masa terperinci akan dibincangkan secara dalaman dan diumumkan pada mesyuarat Majlis seterusnya pada Disember 2023.
“Saya ucapkan tahniah kepada Tengku Zafrul kerana dipilih untuk memimpin BAM dan saya harap pimpinan baharu akan bekerjasama dengan Jawatankuas RTG untuk tengok bagaimana prestasi pemain badminton kita boleh dipertingkatkan lagi bagi menghadapi Olimpik Paris 2024.
“Saya percaya BAM akan mempunyai perancangan baharu dengan kepimpinna baharu ini dan saya harap mereka boleh bekerjasama dengan MSN dan jawatankuasa RTG,” katanya.
Norza sebelum ini membuat keputusan untuk melepaskan jawatan nombor 1 di BAM lebih awal iaitu pada Disember ini bagi memberi tumpuan terhadap tugas selaku Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA).
Selain mahu melepaskan jawatan selaku individu nombor satu BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.-BH ONLINE-
Imedikel TV






