CHICAGO, Amerika Syarikat: Kehilangan khidmat Lionel Messi sekali lagi, harapan Inter Miami untuk melayakkan diri ke playoff MLS semakin pudar selepas tumpas 4-1 di tangan Chicago Fire pagi tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Miami menghuni tangga kedua tercorot Eastern Conference dan lima mata di belakang kedudukan terakhir ke playoff dengan hanya berbaki tiga perlawanan dan kini tidak boleh menentukan nasib mereka lagi.
Prospek menyaksikan pemenang Piala Dunia dari Argentina itu mencetus kehadiran penonton dengan rekod 62,124 di Soldier Field di Chicago tetapi tanpa Messi yang cedera, pemain nombor 10 Chicago mencuri tumpuan.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Bekas perancang utama Liverpool dan Bayern Munich dari Switzerland, Xherdan Shaqiri meledak dua gol manakala rakan senegaranya Maren Haile-Selassie turut menyumbang dua gol buat tuan rumah.
Kemenangan Chicago mengukuhkan peluang mereka untuk layak ke playoff buat kali pertama sejak tahun 2017, melonjakkan mereka ke tangga kelapan.
Semua aksi bertumpu pada babak kedua dengan Shaqiri membuka tirai jaringan empat minit selepas rehat, menamatkan satu hantaran cantik dengan rembatan kaki kiri yang menerjah jaring.
Miami bangkit seketika apabila Josef Martinez menyempurnakan sepakan penalti selepas pertahanan Chicago, Jonathan Dean dipersalahkan kerana memegang bola.
Chicago menyerlah di depan pintu gol dan mendahului semula pada minit ke-62 apabila pemain gantian Haile-Selassie menjaringkan gol susulan hantaran Fabian Herbers.
Haile-Selassie meledak sekali lagi untuk menjadikan kedudukan 3-1 dengan benteng Miami lembap untuk bertindak berikutan hantaran silang Ousmane Doumbia dari kanan sebelum Shaqiri melengkapkan kemenangan bergaya itu dengan penamat bijak selepas menerima lorongan cantik Gaston Gimenez.
“Seronok melihat Soldier Field dipenuhi bagi perlawanan bola sepak dan saya harap mereka akan datang lagi dan lagi kerana hari ini kami membuktikan betapa bagusnya kami selain semangat sepasukan yang jitu,” kata Shaqiri.
“Kami amat memerlukan kemenangan ini dan setiap perlawanan kini ibarat final,” jelas pemain berusia 31 tahun itu. – AFP
AGENSI-Berita harian online-
Imedikel TV






