JAKARTA: Kerajaan Indonesia tidak mengetahui keberadaan Menteri Pertanian Shahrul Yasin Limpo,
menurut Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Mahfud Md, lapor
Agensi Berita Antara.
Memetik laporan BERNAMA menerusi Harian Metro, Pejabat dan rakan sekerja Limpo dilaporkan terputus
hubungan dengannya sejak 30 September selepas beliau menamatkan lawatan kerja di Eropah,
menurut Mahfud pada Rabu.
Beliau menolak dakwaan bahawa Limpo mungkin cuba melarikan diri daripada siasatan rasuah
terhadapnya, memandangkan Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) tidak menamakan Limpo
sebagai orang yang disiasat dan polis juga tidak menyenaraikannya sebagai orang dikehendaki .
Mahfud berkata, kerajaan akan membantu KPK menyiasat dakwaan rasuah dalam Kementerian
Pertanian.
Presiden Jokowi meminta semua pihak menunggu kepulangan Limpo ke tanah air selepas lawatan kerja
ke Eropah dan meminta wartawan menghubunginya.
KPK menemukan 12 senjata api dan wang kertas bernilai Rp30 bilion di kediaman rasmi Limpo di
Jakarta pada Jumaat (29 September). Suruhanjaya itu mendakwa terdapat skandal rasuah dan
penipuan projek di Kementerian Pertanian.
Sementara itu pada Selasa, Timbalan Menteri Pertanian Harvick Hasnul Qolbi berkata, kementerian itu
terputus hubungan dengan Limpo selepas lawatannya ke Itali dan Sepanyol.
Limpo yang berlepas ke Eropah pada 24 September, sepatutnya pulang pada 30 September atau 1
Oktober, kata Qolbi.
Pada Selasa Jokowi melantik Qolbi sebagai menteri pertanian sementara. – HMetro Online –
IMedikel TV






