Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Masalah kekurangan bekalan bahan mentah masih menimbulkan kegusaran rakyat di seluruh negara.
Bukan sahaja telur atau beras malah bahan basah seperti bekalan daging lembu import juga menjadi masalah kepada mereka.
Ia terbukti menjejaskan peniaga dan pengguna yang sentiasa menginginkan bekalan makanan ruji itu untuk kegunaan harian.
Seorang peniaga daging import, Zaidi Noh, 50, berkata ekoran masalah tersebut dia terpaksa menanggung kenaikan harga bekalan daging import untuk dijual.
“Pendapatan saya memang sepenuhnya bergantung kepada perniagaan daging import dan tempatan. Bila saya beli stok bekalan daging untuk dijual, saya dapati bekalan itu tiada, kalau ada pun, harga memang mahal dan tidak menentu, biasanya satu kotak RM300 namun sekarang naik RM340.
“Bagaimanapun, saya terpaksa menaikkan harga jualan daging import untuk satu kilogram kerana tidak mampu untuk menyerap dengan kenaikan harga tersebut,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Siti Khadijah, di sini, baru-baru ini.
Jelas Zaidi, dia perlu memastikan stok bekalan daging lembu sentiasa ada untuk memenuhi permintaan pasaran setiap hari.
Manakala, seorang pelanggan Kamarul Adli Mohd Hussin dikenali sebagai Haji Mie, 56, dari Kota Bharu berkata dia selalu mengambil upah daripada orang kampung untuk membeli daging di pasar.
Namun katanya, akhir-akhir ini, pendapatannya turut terjejas kerana stok bekalan daging berkurangan.
“Apabila harga daging makin mahal, pelanggan tidak ramai membelinya jadi itu membuatkan pendapatan saya terjejas.
Kamarul berkata, perkara ini membebankan orang ramai sekaligus peniaga yang ingin mencari keuntungan dalam jualan.
Imedikel TV






