Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
Komited, berdaya tahan, aktif, menepati masa, berdaya maju.
Itu antara kriteria untuk menjadi seorang wartawan professional atau dikenali juga sebagai pengamal media.
Kerjaya wartawan sudah tentu menuntut mereka untuk bersikap lebih agresif dan tangkas bagi mengelakkan mereka daripada beralasan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Majidah Ismail berkata, wartawan perlu bergerak seiring teknologi dan melengkapkan diri dengan mental serta fizikal yang kuat untuk menghadapi cabaran lebih besar di masa akan datang.

Katanya, wartawan profesional adalah individu yang berjaya membuang sikap lembik, lemau dan malas dalam diri mereka.
“Untuk menjadi seorang wartawan kita perlu bertenaga, kuat dan berkeyakinan untuk merentasi segala cabaran yang kita akan tempuhi bukan sahaja di darat, namun di udara, di laut sekalipun di atas kenderaan.
“Memang untuk menjadi wartawan kalau lembik-lembik tu anda tidak sesuai untuk menjadi seorang wartawan, kena cergas perlu stamina yang lebih kerana kita kerja bukan kerja di pejabat, kita kerja di lapangan yang memerlukan tenaga dan juga berdaya saing. Kita perlu membuat “stand upper” dan nak jaga keselamatan. Itu ancaman dan kita perlu bersedia malah perlu penuhi ilmu di dada dengan info-info yang sahih. Sebelum membuat stand upper, kita mesti mempunyai maklumat yang cukup,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat Kursus Pemantapan Penulisan Berita, “Mendepani Cabaran Masa Kini”, di Auditorium Titian Murni, Jabatan Penyiaran Kelantan, di sini, semalam.
Majidah berkata, keselamatan pengamal media sepanjang menjalankan liputan boleh dikatakan berisiko.
Jelasnya, dunia kewartawanan masa kini menuntut wartawan lebih berdaya saing, kritis dan kreatif supaya terus kekal relevan sebagai penyalur maklumat tepat kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Majidah berkata, pengamal media kini berdepan dengan “wartawan netizen” yang berlumba-lumba untuk menyampaikan maklumat namun tidak peduli akan kesahihan maklumat itu.
“Wartawan-wartawan di kalangan kelab media Kelantan KEMUDI berdepan dengan cabaran-cabaran baru khususnya wartawan netizen yang dipanggil, wartawan tepi jalan yang menyampaikan maklumat tidak sahih kemudian terus sebarkan tetapi berbeza dengan kami “wartawan berkelas” yang perlu mendapatkan info yang sahih dan tepat sebelum disebarkan.”
Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk bergerak ke sekolah terpilih untuk melaksanakan kursus pemantapan penulisan berita memandangkan sambutan daripada pelajar kali ini amat menggalakkan.

“Pada kali ini, KEMUDI mengadakan kursus ini di RTM Kelantan dan mungkin selepas ini kita akan adakan di sekolah pula memandangkan sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar. Saya bersyukur penganjur bersetuju untuk mengadakan seumpama ini sekali lagi melibatkan sekolah-sekolah yang terpilih selepas ini.”
Majidah berharap, pihaknya dapat melahirkan wartawan muda yang profesional dan berilmu untuk dipraktikalkan dalam kerjaya masa depan.
Seorang peserta, Syasya Batrisyia, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian 2, berkata dia mula berminat dalam dunia kewartawanan sejak di sekolah rendah.

“Tujuan saya sertai kursus ini adalah untuk menambah pengalaman dan saya sangat berminat untuk menjadi seorang wartawan dan dengan cita-cita itu menuntut saya untuk memberanikan diri bercakap di khalayak ramai.
“Ilmu baru yang saya peroleh adalah dapat membuang sikap malu yang tidak bertempat,”katanya.
Syasya begitu teruja serta mempunyai keinginan untuk bercakap di kahlayak ramai untuk berkongsi ilmu.
Namun, jelasnya, dia mempunyai sifat malu yang sukar untuk diketepikan.
Bagaimanapun, Syasya nekad untuk terus berusaha dan membuang sikap malu tersebut untuk lebih maju ke hadapan.
Manakala bagi Damia Amir Khairul Zaman, 11, dari Sekolah kebangsaan pak badol, dia adalah salah seorang wartawan cilik di sekolahnya.

“Alhamdulillah, dengan kursus ini saya boleh dapat ilmu baharu dan dapat tahu cabaran serta kelebihan menjadi seorang wartawan.
“Kalau rasa berdebar untuk membuat stand upper, kita perlu menarik nafas selama 10 saat dan bayangkan hanya orang ramai yang ada di hadapan kita.
Katanya kursus tersebut memberi peluang kepadanya untuk lebih aktif dan mengetahui tentang asas kerjaya sebagai wartawan.
Kursus pemantapan penulisan berita itu berlangsung selama dua hari bermula isnin dan berakhir, semalam.
Imedikel TV






