Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Setiap pelaporan berita sama ada akhbar, majalah, television mahupun radio memerlukan penulisan yang padat dan ringkas.
Untuk mendapatkan penulisan sebegitu, ia memerlukan wartawan yang berkelas berbanding “wartawan netizen”.
Penceramah, Majidah Ismail berkata menjadi wartawan yang berkelas perlu memegang satu tanggungjawab untuk memastikan berita itu ringkas dan padat serta mudah difahami oleh penonton.
“Wartawan perlulah sentiasa komited dalam bekerja, bertenaga, fasih menggunakan bahasa, berdaya tahan, bijaksana dan berdaya maju.
“Dalam era permodenan sekarang ini semua orang boleh menulis namun, berapa kerat sahaja yang layak menjadi wartawan,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa Kursus Pemantapan Penulisan Berita “Mendepani Cabaran Masa Kini” di Auditorium Titian Murni di Jabatan Penyiaran Kelantan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Majidah berkata berita radio dan television adalah maklumat terkini dalam dan luar negara yang mempunyai nilai berita yang tinggi serta menarik perhatian masyarakat dan disiarkan di radio dan television.
“Selain itu, wartawan berkelas menulis berita berdasarkan asas penulisan berita penyiaran television antaranya adalah mereka akan menghasilkan berita menggunakan ayat perbualan serta ayat yang mudah difahami,”katanya.
Imedikel TV






