Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
Masalah ekzema bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan anak-anak dan masyarakat sekarang.
Sering kali kita lihat rata-rata perkongsian para ibu tentang masalah ekzema yang dialami oleh anak-anak mereka agak membimbangkan.
Ekzema merupakan sejenis penyakit kulit yang menyebabkan kegatalan dan kemerahan pada kulit namun ia tidak berjangkit dan boleh dikawal dengan rawatan dan pengambilan ubat tertentu.
Difahamkan terdapat beberapa jenis ekzema yang boleh dihidapi oleh pesakit ialah Atopic Dermatitis, Seborrhoeic Dermatitis dan Contact Dermatitis adalah antara jenis-jenis ekzema yang biasa dihidapi oleh kanak-kanak.
Ekzema yang menyerang orang dewasa dan bayi adalah tidak sama walaupun kelihatan serupa. Bahagian yang diserang ekzema juga boleh terjadi di tempat-tempat yang berbeza.
Menurut perkongsian daripada Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Columbia Asia, Petaling Jaya, Dr. Azura Mohd Affandi Ekzema yang sering terjadi dalam kalangan bayi atau kanak-kanak adalah jenis Atopic Dermatitis (AD).

Biasanya ia berlaku pada enam bulan pertama usia bayi. Bayi atau kanak-kanak yang mengalami ekzema kebiasaannya mempunyai sejarah keluarga menghidap asma dan resdung. Risiko mereka untuk mendapat penyakit tersebut juga adalah lebih tinggi.
Simptom untuk ekzema jenis itu adalah kulit mengalami kekeringan, bersisik kemerahan dan penghidapnya akan merasa gatal-gatal pada bahagian tertentu seperti di pipi, pergelangan tangan dan kaki.
Selain itu, menurut Pakar Perunding Dermatologi, Avisena Women’s & Children’s Specialist Hospital, Dr Kartini Farah Rahim, rawatan untuk merawat penyakit ekzema adalah dengan penyapuan pelembap, krim atau minyak steroid dan calcineurin inhibitor pada kulit bayi bagi mengawal keradangan dengan cepat dan berkesan.
Jika ekzema menjadi teruk seperti berair, bergelembung air, bengkak, bernanah dan berbau, ibu bapa perlu mendapatkan rawatan doctor dengan segera.
Walaubagaimanapun, ianya tiada ubat penyembuh kerana masalah ekzema itu boleh berulang-ulang apabila ada pencetusnya. Berita baiknya adalah lebih 60% kanak-kanak akan pulih dengan sendiri ekzemanya apabila dia meningkat remaja.
Imedikel TV






