KOTA BHARU: Penganjuran Program Jualan RAHMAH dapat memberi kesan yang positif dalam usaha untuk meringankan kos sara hidup warga Malaysia MADANI.
Menurut kenyataan media, ini dapat dilihat melalui jumlah keseluruhan pengunjung yang hadir iaitu berjumlah lebih kurang dua juta orang dan rekod jualan bagi seluruh Negara berjumlah melebihi RM50 juta.
Fokus utama Karnival RAHMAH Peringkat Negeri Kelantan yang dijalankan selama dua hari bermula semalam bertujuan untuk menangani kos sara hidup warga Malaysia MADANI melalui Program Jualan RAHMAH. Objektif utama Program Jualan RAHMAH ini ialah untuk memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan barangan keperluan asas harian sehingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.
Semalam, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, merasmikan Karnival RAHMAH Peringkat Negeri Kelantan bertempat di MYDIN Mall Tunjong, Kota Bharu, di sini.

Pada masa yang sama, Fuziah turut menyampaikan sebanyak 20 Bakul RAHMAH kepada penerima yang terdiri daripada kumpulan B40.
Untuk makluman, Bakul RAHMAH itu bernilai RM50 yang terdiri daripada barangan keperluan asas harian seperti beras, gula pasir, tepung gandum, minyak masak, bihun, sardin dan barangan keperluan harian yang lain.
Dalam pada itu juga, kementerian secara langsung menggalakkan 100 peniaga Pasar Malam MYDIN Mall Tunjong, Kota Bharu dalam menawarkan Menu RAHMAH yang merupakan salah satu program dibawah Inisiatif Payung RAHMAH.
Untuk rekod Pasar Malam MYDIN Mall ini menjadi tarikan tumpuan utama rakyat di Kelantan pada hujung minggu untuk berbelanja dan dengan adanya tawaran Menu RAHMAH dapat menarik perhatian serta mendapat manfaat kepada pengguna dan peniaga terutamanya.
Turut berlangsung di reruai Karnival RAHMAH Peringkat Negeri Kelantan ialah pameran agensi kerajaan, perkhidmatan menderma darah, pemeriksaan kesihatan perubatan, pendaftaran syarikat oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Perkhidmatan Kaunseling Kewangan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, dan juga Persembahan Dikir Barat Kepenggunaan oleh artis tempatan.
KPDN mengajak dan menggalakkan lebih ramai lagi pemain industri samaada pasar raya, pemborong dan peruncit supaya dapat bersama-sama menjayakan aspirasi ini dalam mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.
Untuk makluman, Program Jualan RAHMAH mula diperkenalkan bermula Januari 2023, dimana sejumlah 1193 lokasi telah terlibat dengan Jualan RAHMAH di seluruh negara sehingga hari ini.
Terdapat tiga model Jualan RAHMAH iaitu dalam premis, luar premis, dan Jualan RAHMAH Bergerak iaitu berkonsepkan #kedaicarirakyat.
Imedikel TV






