Home Luar Negara OIC GANTUNG STATUS UTUSAN KHAS SWEDEN

OIC GANTUNG STATUS UTUSAN KHAS SWEDEN

211
0

ISTANBUL: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengumumkan kelmarin status Utusan Khas Sweden dengan pertubuhan itu digantung.

Menurut kenyataan OIC, pada mesyuarat luar biasa Jawatankuasa Eksekutif OIC yang diadakan 2 Julai lalu, Setiausaha Agung Hissein Brahim Taha diminta untuk mempertimbangkan tindakan terhadap negara-negara yang berlaku insiden mencemari al-Quran dan simbol Islam, termasuk menggantung status Utusan Khas.

“Setiausaha Agung mengalu-alukan langkah yang diambil oleh beberapa negara anggota untuk membantah serangan berulang terhadap kesucian Islam.

“Beliau menyeru semua negara anggota untuk mengambil keputusan berdaulat yang dianggap wajar untuk menyatakan pendirian mereka mengecam tindakan pihak berkuasa Sweden yang membenarkan insiden mencemari kesucian al-Quran dan simbol Islam berulang serta untuk menyatakan kecaman negara-negara OIC terhadap tindakan memalukan itu dengan alasan kebebasan bersuara,” lapor Agensi Anadolu.

Memetik laporan BERNAMA menerusi Berita Harian, Taha juga menekankan, pembakaran naskhah al-Quran dan tindakan lain terhadap tokoh dan simbol Islam bukanlah ‘insiden Islamofobia yang biasa’.

“Beliau menggesa masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan undang-undang antarabangsa dengan segera yang jelas melarang sebarang tindakan menyebarkan kebencian agama,” menurut kenyataan itu.

Beliau turut menekankan mengenai kepentingan mematuhi resolusi yang diterima pakai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, untuk menangani isu kebencian agama yang menghasut diskriminasi, permusuhan atau keganasan.

Sekretariat Agung OIC sedang membuat persediaan untuk memanggil mesyuarat tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar bagi membincangkan dengan lebih lanjut hal itu dan membuat sebarang keputusan yang perlu. – BERNAMA, BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here