Home Luar Negara KESATUAN PEMAIN PERANCIS SOKONG MBAPPE

KESATUAN PEMAIN PERANCIS SOKONG MBAPPE

PARIS: Kesatuan kebangsaan pemain bola sepak profesional Perancis (UNFP) membidas Paris Saint-Germain (PSG) selepas juara Ligue 1 itu mengecualikan Kylian Mbappe daripada jelajah pramusim mereka ke Asia susulan kebuntuan kontrak antara penyerang itu dengan kelab berpanjangan.

Kapten Perancis berusia 24 tahun itu disenaraikan untuk dijual oleh PSG, menurut laporan media selepas hubungan antara kedua-dua pihak keruh sejak bulan lalu.

Mbappe sebelum ini menyatakan dia tidak akan memperbaharui kontraknya, yang berakhir pada hujung musim depan, bermakna dia boleh meninggalkan kelab secara percuma pada Jun 2024.

Namun Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi berkata mereka tidak akan membenarkan Mbappe, penjaring gol terbanyak liga utama Perancis dalam lima musim terakhir, meninggalkan kelab secara percuma.

“Semua pemain ini mesti menikmati suasana kerja sama seperti tenaga kerja profesional yang lain,” kata UNFP, kesatuan sekerja utama bagi pemain bola sepak profesional di Perancis, dalam satu kenyataan panjang lebar semalam.

“UNFP berasakan adalah penting untuk mengingatkan pengurus yang memberi tekanan kepada pekerja – melalui kemerosotan keadaan kerja mereka, sebagai contoh – untuk memaksa mereka meninggalkan atau menerima apa yang majikan mahukan merupakan gangguan moral, yang dikecam hebat oleh undang-undang Perancis.

“Jadi, ya, UNFP berhak untuk mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap mana-mana kelab yang berkelakuan sedemikian,” kata kenyataan itu.

PSG memenangi sembilan daripada 11 kejuaraan Ligue 1 terakhir tetapi kejayaan domestik mereka tidak disusuli dalam Liga Juara-Juara – trofi yang masih belum dimenangi kelab Paris itu di sebalik pelaburan mereka yang besar memperkuatkan skuad.

PSG berdepan dilema membenarkan Mbappe mengharungi tahun terakhir kontraknya dan tidak mendapat semula sekurang-kurangnya sebahagian daripada 180 juta euro (RM913 juta) yang dibelanjakan mereka pada 2017 untuk mengikatnya dari AS Monaco.

Mbappe dikaitkan dengan perpindahan ke kelab juara Eropah 14 kali, Real Madrid. – REUTERS, BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here