Home Luar Negara TENTERA ISRAEL TERBUNUH DALAM OPERASI DI JENIN

TENTERA ISRAEL TERBUNUH DALAM OPERASI DI JENIN

212
0

JENIN: Tentera Israel, hari ini mengesahkan seorang anggotanya terbunuh akibat insiden tembakan di Kem Pelarian Jenin.

Menurutnya, insiden itu berlaku ketika tentera Israel mula berundur dari kawasan di Tebing Barat selepas operasi penguatkuasaan secara besar-besaran selama dua hari yang turut mengorbankan lebih 10 rakyat Palestin.

“Petang ini (Selasa) seorang pegawai bukan bertauliah dalam perkhidmatan pertempuran terbunuh akibat terkena tembakan ketika operasi ketenteraan di Kem Jenin,” katanya.

Serbuan ke atas kem pelarian itu mula dilancarkan Isnin lalu di bawah pentadbiran sayap kanan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, membabitkan ratusan askar, serangan dron dan jentera tentera di atas jalan.

Di Tel Aviv, serangan membabitkan rempuhan sebuah kereta dan insiden tikaman, mencederakan tujuh orang sebelum suspek ditembak mati pada hari kedua operasi ketenteraan terbesar Israel dalam beberapa tahun ini, di penempatan di Tebing Barat.

Pada masa sama, menurut tentera, tembakan lima roket disasarkan ke arah Israel dari Semenanjung Gaza tetapi berjaya dipintas.

“Lima roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke arah wilayah Israel, namun barisan pertahanan udara IDF berjaya memintas semuanya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut tentera Israel, sehingga kini mana-mana wakil dari Palestin belum mengakui bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Katanya, siren juga dibunyikan di bandar selatan Sderot.

Tembakan roket itu berlaku selepas tentera Israel melancarkan operasi besar-besaran di Tebing Barat yang diduduki pada awal pagi Isnin.

Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin, serangan besar-besaran Israel setakat ini mengorbankan seramai 12 rakyat Palestin. 

Sumber: BH Online & AFP

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here