Home Buletin Semasa PETUGAS KESIHATAN DINASIHAT GUNA SALURAN RASMI, ELAK ADUAN DI MEDIA SOSIAL

PETUGAS KESIHATAN DINASIHAT GUNA SALURAN RASMI, ELAK ADUAN DI MEDIA SOSIAL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Petugas kesihatan diingatkan supaya menggunakan saluran rasmi yang disediakan bagi mengemukakan aduan, pandangan atau cadangan penambahbaikan berkaitan perkhidmatan dan kebajikan warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, tindakan membawa isu dalaman ke media sosial, khususnya perkara yang boleh diselesaikan di peringkat pengurusan hospital, berisiko membesarkan isu sehingga menjejaskan tumpuan petugas terhadap tugas hakiki.

“Kalau ada apa-apa yang petugas kesihatan rasa boleh ditambah baik, datang kepada pihak pengurusan. Mulakan dengan pengurusan hospital, kemudian kepada pengarah kesihatan negeri untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.

“Kita mempunyai platform termasuk mesyuarat khas setiap dua bulan bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia untuk menyampaikan pandangan petugas di peringkat bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Unit Spiritualiti dan Kesihatan (USK) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) serta Garis Panduan Penjagaan Aurat Pesakit di Dewan Bedah dan Dewan Bersalin, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan telah meluluskan beberapa penambahbaikan melibatkan kebajikan petugas kesihatan, termasuk kenaikan elaun bertugas atas panggilan (on-call) bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan.

Katanya, walaupun kenaikan itu tidak begitu besar bagi setiap panggilan, secara kumulatif petugas yang menjalani lima hingga enam kali on-call sebulan boleh menikmati pertambahan pendapatan sekitar RM1,000.

“Selain itu, kerajaan turut meluluskan pemberian insentif Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta (BIPPW) kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh Supervised Work Experience (SWE), yang sebelum ini dikenali sebagai proses pewartaan.

“Malah, pegawai berkenaan layak menerima elaun pakar sehingga RM2,700 sebulan bergantung kepada gred sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan elaun pos basik bagi jururawat daripada RM100 kepada RM200 sebulan mulai tahun depan turut mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kebajikan petugas kesihatan.

Sehubungan itu, beliau berharap isu dalaman yang dibangkitkan dapat ditangani melalui saluran sewajarnya bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap sektor kesihatan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang berminat menceburi bidang perubatan.

Katanya, negara masih memerlukan lebih ramai tenaga kerja dalam sektor kesihatan, bukan sahaja doktor dan jururawat, malah penolong pegawai perubatan, pembantu perawatan kesihatan serta pemandu ambulans.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here