Oleh: Wartawan IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) diarahkan mengambil tindakan serius berhubung isu persembahan hiburan ala konsert yang didakwa tidak bersesuaian dengan Istiadat Konvokesyen institusi berkenaan.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penganjuran hiburan sedemikian dalam majlis konvokesyen adalah tidak wajar dan tidak beradab kerana ia merupakan upacara kemuncak pengiktirafan serta pemartabatan ilmu.
Beliau berkata, sekiranya persembahan nyanyian atau artis jemputan diadakan ketika waktu rehat, pemilihan lagu, pakaian serta konsep persembahan perlu bersesuaian dengan suasana dan protokol istiadat berkenaan.
Susulan itu, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah MARA serta pihak pengurusan UniKL melakukan perubahan dan penambahbaikan segera terhadap kod etika serta adab penganjuran majlis konvokesyen di semua institusi pendidikan di bawah MARA.
Menurutnya, ilmu bukan sekadar proses memperoleh pengetahuan dan menguasai kemahiran, sebaliknya turut merangkumi pembentukan adab, penyemaian nilai serta pembinaan keperibadian insan.
Justeru, beliau menegaskan bahawa majlis konvokesyen perlu mencerminkan manifestasi ilmu dan adab yang sewajarnya dipelihara.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan telah memanggil Naib Canselor UniKL dan Ketua Pengarah MARA pada Isnin ini bagi membentangkan langkah serta tindakan penambahbaikan yang akan dilaksanakan.
Perkara itu dikongsikan Dr Asyraf Wajdi menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, susulan pandangan orang ramai berhubung isu berkenaan.
IMedikel TV






