Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Seramai 25 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari tiga daerah di Pahang menyertai Latihan Uji Cuba Alat Skuba dan Asas Renang bagi meningkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan menghadapi operasi menyelamat di air.
Latihan yang julung kali diadakan tahun ini berlangsung di Kolam Renang Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Gebeng, dekat sini, kelmarin.
Latihan berkenaan turut disertai jurulatih daripada pasukan khas APM dan dilaksanakan menerusi sesi teori serta praktikal, merangkumi kemahiran asas renang, penggunaan peralatan skuba dan aspek keselamatan ketika menjalankan operasi menyelamat.

Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, latihan itu bertujuan meningkatkan tahap kecergasan, kemahiran asas renang serta pengetahuan dan kecekapan anggota dalam mengendalikan peralatan skuba.
Menurutnya, penguasaan kemahiran berkenaan amat penting bagi memastikan setiap anggota mampu melaksanakan operasi menyelamat di air dengan selamat, cekap dan berkesan, terutama di kawasan perairan yang mencabar.
“Latihan ini turut disertai beberapa pegawai APM daerah dan negeri bagi memastikan mereka juga mempunyai kemahiran sama seperti anggota lain, dan bukan hanya tertumpu kepada tugas menguruskan operasi menyelamat.
“Dari semasa ke semasa, kita mengadakan latihan uji cuba alat skuba dan asas renang membabitkan anggota di setiap daerah supaya setiap pasukan APM daerah mempunyai anggota yang mahir menjalankan operasi menyelamat di air,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak AMSAS atas kerjasama serta kebenaran menggunakan fasiliti kolam renang sepanjang latihan berlangsung.
Dalam perkembangan berkaitan, Che Adam berkata, APM Pahang kini bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang sudah bermula dengan kekuatan anggota dan aset logistik menjadi keutamaan di setiap daerah.
Katanya, kerjasama erat dengan agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pejabat daerah dan tanah penting bagi memastikan operasi menyelamat serta bantuan kepada mangsa banjir dapat dilaksanakan dengan lancar.
Selain operasi menyelamat, APM turut membantu menyediakan kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS), termasuk khemah tempat tinggal untuk mangsa banjir.
“Pengalaman anggota APM diharap dapat melancarkan lagi operasi membantu dan menyelamat mangsa banjir.
“Saya menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
IMedikelTV






