RAMALLAH/ISTANBUL: Naib Presiden Palestin, Hussein al-Sheikh, serta Wakil Kesatuan Eropah (EU) ke Tebing Barat, Gaza dan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Andreas Fiedler, semalam bersetuju menubuhkan jawatankuasa teknikal bersama Palestin-Eropah untuk persediaan mengadakan pilihan raya legislatif dan presiden, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Memetik laporan Bernama menerusi Berita Harian, Menurut Pejabat Naib Presiden Palestin dalam satu kenyataan, persetujuan itu dicapai pada pertemuan Hussein dengan Fiedler di Ramallah yang turut dihadiri Pegawai Komunikasi Pejabat EU, Shadi Othman, dan Ketua Staf Naib Presiden, Ayah AlMuhisin.
“Pertemuan itu membincangkan perkembangan terkini berhubung pilihan raya legislatif dan presiden, keperluan membuat persediaan untuk pilihan raya berkenaan, serta bekerjasama mewujudkan keadaan sesuai bagi memastikan pilihan raya yang telus dan adil.
“Persetujuan dicapai untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal bersama Palestin-Eropah bagi tujuan itu,” kata Hussein dalam kenyataan berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai mandat jawatankuasa berkenaan atau bila ia akan memulakan tugasnya.
Kali terakhir pilihan raya legislatif Palestin diadakan ialah pada 2006 yang menyaksikan Hamas memenangi majoriti kerusi.
Pertempuran dalaman antara Hamas dengan Fatah tercetus pada 2007 yang berakhir dengan Hamas menguasai Semenanjung Gaza, manakala Pihak Berkuasa Palestin diterajui Fatah pula kekal menguasai sebahagian kawasan di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Majlis Legislatif Palestin tidak berfungsi sejak 2007 sebelum dibubarkan secara rasmi melalui keputusan Mahkamah Perlembagaan Palestin pada 2018.
Dekri Presiden yang dikeluarkan pada 15 Januari 2026 menetapkan pilihan raya legislatif diadakan pada 28 November ini, namun pucuk pimpinan Palestin kemudian menangguhkannya kepada 11 September 2027.
Pihak Berkuasa Palestin menyatakan penangguhan itu disebabkan halangan dikenakan Israel serta keadaan politik, keselamatan dan situasi di lapangan.
Ia termasuk ketiadaan keadaan yang diperlukan untuk mengadakan pilihan raya di Gaza, sekatan terhadap tugas Suruhanjaya Pilihan Raya dan pemerhati, serta sekatan di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat yang diduduki Israel. – BERNAMA, BH Online –
IMedikelTV






