Home Sukan HODAK MAHU CIPTA SESUATU YANG ISTIMEWA BERSAMA HARIMAU MALAYA

HODAK MAHU CIPTA SESUATU YANG ISTIMEWA BERSAMA HARIMAU MALAYA

KUALA LUMPUR: Pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Bojan Hodak tidak mahu kehadirannya sekadar mengisi kekosongan kerusi ketua jurulatih skuad kebangsaan, sebaliknya bertekad melakar sesuatu yang istimewa bersama pasukan negara di pentas antarabangsa.

Memetik laporan Berita Harian, Pengendali kelahiran Zagreb, Croatia itu mengakui cukup teruja menerima tanggungjawab baharu berkenaan dan bersedia memberikan komitmen sepenuhnya bagi merealisasikan misi yang disasarkan bersama Harimau Malaya.

“Saya sangat teruja dengan cabaran baharu ini. Mari kita bekerja keras dan cuba mencapai sesuatu yang istimewa bersama,” kata jurulatih berpengalaman berusia 55 tahun itu.

Keazaman Hodak itu diluahkan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikannya sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Peter Cklamovski yang meninggalkan pasukan menerusi persetujuan bersama pada 16 Jun lalu.

Pelantikannya itu dilihat sebagai langkah FAM untuk memanfaatkan pengalaman luasnya dalam kancah bola sepak tempatan dan Asia Tenggara bagi membentuk skuad kebangsaan yang lebih kompetitif.

Hodak bukan nama asing dalam bola sepak Malaysia apabila pernah membimbing Kelantan meraih kejuaraan treble domestik pada 2012 menerusi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Beliau kemudian membawa Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang kejuaraan Liga Super pada musim 2014 sebelum mencipta sejarah bersama Kuala Lumpur City (KL City) apabila menamatkan penantian 32 tahun kelab itu untuk memenangi Piala Malaysia pada 2021, selain membawa pasukan berkenaan ke final Piala AFC pada musim 2022.

Pengalaman Hodak bersama bola sepak negara turut merangkumi tugas membimbing skuad Bawah 19 (B-19) Malaysia dari 2017 hingga 2019, termasuk menghadiahkan kejuaraan saingan B-19 Piala AFF 2018 di Surabaya, Indonesia.

Sentuhan ajaibnya diteruskan di negara seberang, di mana beliau mencipta fenomena baharu dengan kelab gergasi Indonesia, Persib Bandung apabila membantu pasukan itu meraih tiga kejuaraan liga dari 2023/2024, 2024/2025 dan 2025/2026 sebelum beralih kepada tugas sebagai penasihat teknikal pada Mei lalu.

Kini, cabaran lebih besar menanti Hodak apabila beliau perlu menterjemahkan pengalaman dan rekod kejayaan di peringkat kelab kepada pencapaian bersama skuad kebangsaan yang membawa harapan penyokong bola sepak negara. – BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here