Home Hiburan SHAFIQ RUJUK PEGUAM SELESAIKAN KEMELUT DENGAN SYIDA

SHAFIQ RUJUK PEGUAM SELESAIKAN KEMELUT DENGAN SYIDA

KUALA LUMPUR: Bekas suami usahawan dan pelakon, Syida Melvin, iaitu Shafiq Shaheen mendakwa belum mampu berbincang secara baik dengan bekas isterinya itu berikutan kemelut antara mereka yang masih berlarutan.

Menerusi video yang dikongsi di media sosial, Shafiq berkata, keadaan yang masih tegang menyukarkan mereka untuk berbincang secara langsung bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berbangkit.

“Ketika ini, saya tidak mampu mengadakan perbualan yang baik dengan Syida kerana situasi masih panas.

“Saya akan mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat peguam untuk cuba menyelesaikan semua perkara ini secara menyeluruh.

“Saya berharap usaha menghubunginya, sama ada secara langsung atau menerusi peguamnya, akan membuahkan hasil,” katanya. 

Dalam perkongsian sama, Shafiq berharap kemelut yang berlaku dapat diselesaikan secepat mungkin demi kebajikan tiga anak mereka, Pia, Jeda dan Isa, selain kepentingan keluarga serta syarikat yang dibangunkan bersama.

Tambah Syafiq, usaha mencari penyelesaian secara menyeluruh itu dilakukan demi masa depan anak-anak, selain memastikan operasi syarikat yang dibina bersama dapat diteruskan dengan baik.

Shafiq turut mengakui perceraian bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui, apatah lagi apabila kediaman yang pernah dibina bersama suatu ketika dahulu kini tidak lagi meriah seperti sebelumnya.

“Rumah yang kami bina bersama, yang dahulunya riuh, sekarang sunyi. Syarikat yang dibina untuk anak-anak ambil alih suatu hari nanti, insya-Allah, begitu juga kandungan yang kami hasilkan bersama, tidak lagi seperti dahulu,” katanya.

Dalam video sama, Shafiq turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada ketiga-tiga anaknya selain berharap segala kemelut yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik.

Syida dan Shafiq sah bercerai talak satu pada 12 Ogos lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Kemelut membabitkan kediaman bekas pasangan itu kembali menjadi perhatian apabila Syida sebelum ini menerusi siaran langsung di media sosial mendesak Shafiq mengosongkan rumah berkenaan bagi membolehkannya kembali menetap di situ bersama anak-anak.

Bagaimanapun, isu kediaman itu turut membabitkan tuntutan harta sepencarian yang dilaporkan dalam proses perundangan.

Peguam Syida sebelum ini memaklumkan tuntutan berkenaan difailkan pada 20 Oktober lalu, manakala kedua-dua pihak dijadual menghadiri proses sulh pada Disember ini bagi mencari penyelesaian.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here