Home Sukan MSP SASAR 80 REMAJA LELAKI, WANITA IKUTI PEMILIHAN SUKAN TINJU

MSP SASAR 80 REMAJA LELAKI, WANITA IKUTI PEMILIHAN SUKAN TINJU

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Majlis Sukan Pahang (MSP) akan mengadakan Program Elephant Warrior Talent Hunt bagi mencungkil bakat baharu dikalangan remaja lelaki dan wanita dalam sukan tinju di negeri ini.

Program berkenaan akan diadakan Sabtu ini bermula 9 pagi di Arena Datuk Seri Abdul Manan Ismail, Bukit Rangin, Kuantan.

Pengarah Majlis Sukan Pahang, Mahadir Abdul Raffar, berkata pemilihan berkenaan terbuka pada golongan remaja yang meminati sukan lasak itu dan bercita-cita untuk mewakili Pahang dipentas kebangsaan suatu hari nanti.

Menurutnya, program ini terbuka kepada remaja lelaki dan wanita berumur 13 hingga 19 tahun, berminat dalam sukan tinju dan sihat. Mereka yang berjaya terpilih berpeluang terpilih mengikuti program pembangunan dibawah MSP.

“Remaja yang berminat dipelawa untuk menyertai program pemilihan ini bagi merebut peluang mengembangkan potensi dan bakat dalam sukan tinju. Kita sasarkan seramai 80 remaja hadir pada pemilihan itu.

“Mereka yang terpilih mewakili Pahang berpeluang untuk membawa cabaran Tok Gajah pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 dan 2030,” katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, sebelum ini MSP mengadakan program pemilihan atlet tinju di Bera, seramai 30 atlet lelaki dan wanita mengikuti program terbabit. Senarai atlet yang berjaya akan dikeluarkan tidak lama lagi dan mereka layak akan mengikuti latihan.

Mahadir berkata, dua kem latihan sukan tinju Pahang terletak di Bera dan Kuantan, barisan jurulatih berpengalaman akan melatih barisan atlet bagi membuka peluang mereka berjaya dalam sukan tinju.

“Kita ingin meletakan sukan tinju pada kedudukan terbaik sebagai penyumbang pingat emas SUKMA 2028 dan 2030, justeru usaha melahirkan atlet berkualiti tinggi perlu dilakukan lebih awal.

“Pada SUKMA Selangor 2026 Pahang hanya mampu meraih dua pingat gangsa, kita ingin meletak sukan tinju sebaris dengan sukan menembak yang menjadi penyumbang terbanyak pingat pada SUKMA Selangor 2026 menerusi beberapa atlet berkualiti tinggi,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here