Home Buletin Semasa JPJ PAHANG SITA DUA MOTOSIKAL PENUNGGANG MEMANDU LAJU, OPS KHAS 42A 

JPJ PAHANG SITA DUA MOTOSIKAL PENUNGGANG MEMANDU LAJU, OPS KHAS 42A 

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang menyita dua motosikal selepas penunggangnya dikesan melakukan aksi berbahaya dengan memandu laju sehingga mengancam keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, kedua-dua motosikal itu ditahan menerusi Ops Khas 42A yang dijalankan di sekitar Bandar Kuantan dan Jalan Tun Ismail, di sini, kelmarin.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi kaedah risikan dengan anggota Bahagian Penguatkuasa berpakaian biasa bagi mengesan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan jalan raya.

Katanya, kedua-dua penunggang dikenakan tindakan mengikut Seksyen 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana mengambil bahagian dalam menduga kelajuan di jalan raya.

Motosikal terbabit turut disita mengikut Seksyen 64(1) akta sama dan dibawa ke Depoh Sita JPJ Kuantan bagi tujuan mengenal pasti identiti kenderaan serta mengelakkan kesalahan sama berulang.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati penunggang motosikal terbabit turut melakukan beberapa kesalahan lain termasuk tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta kesalahan teknikal lain.

“Jabatan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menjadikan jalan raya sebagai tempat menguji kelajuan sehingga membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, pendekatan operasi secara risikan dengan anggota penguat kuasa berpakaian biasa terbukti berkesan dalam mengesan dan menahan penunggang motosikal yang melanggar undang-undang jalan raya.

Sehubungan itu, JPJ Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dan akan terus melaksanakan Ops Khas 42A di laluan panas sekitar daerah ini.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here