KUALA LUMPUR: Pada usia 14 tahun, Zarra Zhaff tidak pernah terfikir mampu menewaskan bintang nama besar dalam buruan trofi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 di sini, malam tadi.
Memetik laporan Berita Harian, Tidak hairanlah, saat namanya diumum sebagai juara, Zarra yang membintangi filem Khadam, terkejut berikutan calon saingan hebat-hebat.
Zarra menewaskan Datin Sofia Jane yang dicalonkan menerusi filem Malam Terlarang, Sara Ali (Libang Libu), Pearlly Chua (Mother Bhumi) dan Azira Shafinaz (Tarung: Unforgiven).
Zarra atau nama sebenar, Ezarra Nurzhaffira, 14, menganggap kemenangan itu di luar jangkaan berikutan saingan sengit daripada pelakon lebih berpengalaman.
“Saya tidak sangka mampu menewaskan mereka. Malah, saya sendiri tidak tahu ada bakat sebesar itu.
“Namun, Alhamdulillah, ini rezeki saya malam ini (tadi) apabila dapat membawa pulang trofi pertama… Saya sangat gembira,” katanya kepada media pada malam kemuncak FFM 35 di Istana BUdaya (IB) di sini, malam tadi.
Zarra berkata, kemenangan itu secara tidak langsung membuktikan populariti bukanlah penentu utama seseorang pelakon untuk meraih pengiktirafan.
“Saya sangat gembira kerana dapat membuka mata juri bahawa populariti bukan kunci kemenangan.
“Sebelum ini, saya beranggapan pelakon yang popular dan sudah mempunyai nama, terutama pelakon ‘senior’, lebih berpeluang menang kerana mereka sudah lama dalam industri seni,” katanya.
Mengulas perjalanan seninya selepas ini, Zarra mengakui likunya panjang dann berharap dapat membintangi lebih banyak drama serta filem, selain meraih pengiktirafan lain.
“Saya fikir perjalanan masih panjang kerana baru berusia 14 tahun. Saya berharap dapat berlakon dalam lebih banyak cerita dan filem, selain memenangi anugerah lain.
“Saya sudah pernah membintangi filem seram dan drama. Jadi, selepas ini saya mahu mencuba genre aksi pula,” katanya yang menjadikan pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan sebagai idola. – BH Online –
IMedikelTV






