IPOH: Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian seorang pelajar tingkatan tiga yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, semalam, adalah disebabkan jerutan.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, bedah siasat juga mendapati terdapat kesan jerutan pada leher mangsa.
Beliau berkata, pihak polis meneliti tiga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disediakan oleh pihak sekolah.
“Berdasarkan rakaman itu, tiada sebarang unsur jenayah atau buli dikesan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Mohd Alwi berkata, pihak polis merakam keterangan daripada 11 individu yang terdiri daripada enam pelajar dan lima guru.
Beliau berkata, pihak penyiasat masih merakam keterangan daripada rakan-rakan mangsa bagi mengenal pasti tingkah lakunya sebelum kejadian.
“Mangsa ditempatkan di bilik sakit sekolah berkenaan sejak Isnin lalu, termasuk pada hari dia ditemukan meninggal dunia.
“Bilik itu dikhaskan untuk pelajar yang tidak sihat atau perlu dibawa ke hospital,” katanya.
Beliau berkata, kamera CCTV dipasang di dalam bilik berkenaan bagi memantau pelajar yang kurang sihat.
“Berdasarkan rakaman CCTV, mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira 10.35 pagi.
“Bagaimanapun, dia hanya ditemukan pada 2.45 petang oleh seorang pelajar lain yang pergi menggunakan tandas,” katanya.
Mohd Alwi berkata, tiada kecederaan lain ditemukan pada tubuh mangsa.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan tidak disiasat di bawah mana-mana kesalahan jenayah tertentu.
Proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Taiping selesai pada 1 tengah hari. Jenazah kemudiannya dibawa pulang ke Juasseh, Negeri Sembilan pada 3.30 petang. – HMetro Online –
IMedikel TV






