Oleh: Afrizam Arif@ IMedikel TV
KOTA BHARU: Jenazah penderma organ, Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, dijangka dikebumikan selepas solat Zohor hari ini selepas proses penyediaan kubur di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Padang Tembak, selesai dilakukan seawal pukul 8.30 pagi, hari ini.
Penggali kubur, Zulkifli Jusoh, 62, berkata, kerja-kerja persiapan dilakukan atas permintaan bapa Allahyarham bagi memastikan urusan pengebumian berjalan lancar sebaik sahaja jenazah dibawa keluar dari Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
“Saya mula membuat persiapan dan menggali kubur kira-kira pukul 8.30 pagi. Insya-Allah jenazah dijangka dikebumikan selepas Zohor,” katanya ketika ditemui Wartawan IMedikel TV di tanah perkuburan tersebut.

Menurutnya, Allahyarham adalah daripada sebuah keluarga dikenali ramai di kawasan itu dan disifatkan sebagai seorang pemuda daripada kalangan orang baik-baik.
“Arwah ini dari kalangan orang baik-baik, mak ayah orang baik semua,” katanya.
Sementara itu, rakan baik bapa Allahyarham, Mohd Yamin Ismail, 63, turut menyifatkan pemergian pemuda berkenaan sebagai satu kehilangan besar kepada keluarga dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diketahuinya, Allahyarham pernah menyatakan hasrat untuk menjadi penderma organ sejak beberapa tahun lalu sebagai usaha membantu pesakit yang memerlukan.
Allahyarham sebelum ini menerima penghormatan khas daripada HPUSM apabila lampu hijau dinyalakan di bangunan hospital sebagai simbol penghargaan kepada penderma organ.
Graduan Diploma Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu disahkan mengalami kematian otak selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 16 November lalu, sebelum keluarganya mengambil keputusan mendermakan organ beliau bagi memberi harapan dan peluang kehidupan baharu kepada pesakit lain yang sedang menunggu pemindahan organ.
IMedikelTV






