Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Keluarga Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, yang sebelum ini dilaporkan menjalani proses pendermaan organ di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), tampil memberikan penjelasan berhubung keadaan sebenar pemuda itu susulan salah faham yang berlaku pada hari kejadian.
Menerusi perkongsian di media sosial oleh ahli keluarganya, Siti Hawa Najwa, beliau memaklumkan doktor telah memberikan penjelasan lanjut mengenai perbezaan antara kematian jantung dan kematian otak.
“Aidil disahkan mengalami kematian otak walaupun organ lain dalam badannya masih berfungsi dengan bantuan mesin perubatan.
“Aidil tidak lagi mampu bernafas sendiri sekiranya bantuan mesin dihentikan, sekali gus menggambarkan keadaan sebenar yang dialami pemuda berkenaan,” katanya.
Dalam perkongsian sama, keluarga memaklumkan doktor turut menjelaskan bahawa kes yang dialami Aidil merupakan kejadian yang jarang berlaku, iaitu satu dalam 10,000.
Menganggap Aidil sebagai insan terpilih, keluarga mengambil keputusan untuk membenarkan pihak hospital mendermakan beberapa organnya bagi dijadikan amal jariah berterusan buat Allahyarham.
“Keputusan itu dibuat dengan harapan sumbangan organ berkenaan dapat memberikan peluang kehidupan baharu kepada pesakit lain yang memerlukan pemindahan organ,’ katanya.
Sementara itu, kakak Allahyarham, Siti Hajar, 30 ketika dihubungi IMedikel TV memaklumkan antara organ yang didermakan termasuk kornea mata, hati, tulang dan buah pinggang.
Katanya Aidil dijangka disemadikan hari ini selepas selesai menjalani pembedahan terakhir, sekiranya tiada sebarang halangan.
“Saya dimaklumkan doktor pembedahan itu mungkin lagi dua jam. Doktor cakap boleh dikebumikan selepas Zohor, insyaAllah,” katanya.
Katanya Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Teluk Puteri, Padang Tembak.
Mereka juga berharap orang ramai dapat terus menitipkan doa buat Aidil serta menghormati privasi keluarga yang sedang melalui detik sukar berkenaan.
IMedikel TV






