Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
KOTA BHARU: Sejarah pendermaan organ sekali lagi terlakar apabila Hospital Pengajar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menyalakan lampu hijau pada malam 18 November sebagai tanda penghormatan terakhir kepada seorang penderma organ muda yang memberi peluang kehidupan baharu kepada insan lain.
Lampu hijau dinyalakan di bangunan atau lobi hospital merupakan simbol penghormatan dan penghargaan kepada penderma organ yang telah meninggal dunia serta bersetuju mendermakan organ bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit lain.
Simbol itu juga melambangkan harapan baharu dan sokongan terhadap usaha meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ.
Menerusi perkongsian di media sosial TikTok dan Fecebook, penghormatan khas itu diberikan kepada Muhammad Aidil Ahmad Zulpardi, yang disifatkan sebagai insan mulia kerana kesediaannya menjadi penderma organ.
Perkongsian tersebut turut mengajak orang ramai bersama-sama mendoakan Allah SWT mengurniakan ganjaran terbaik atas jasa dan pengorbanannya.
Menurut makluman itu, lelaki berusia 23 tahun itu dirawat di Unit Rawatan Rapi Trauma (TICU) selepas terlibat dalam kemalangan sebelum disahkan mengalami kematian otak atau ‘brain death’ oleh pasukan perubatan.
Susulan itu, pihak keluarga bersetuju untuk Allahyarham menjalani prosedur pendermaan organ yang dijadualkan berlangsung pada awal pagi 19 November ini, sekali gus memberikan peluang kepada penerima organ untuk meneruskan kehidupan.
Dalam satu penjelasan dikongsikan ahli keluarga, keputusan keluarga untuk membenarkan pendermaan beberapa organ Allahyarham dilihat sebagai satu amal jariah berterusan, selain mencerminkan nilai kemanusiaan yang tinggi dalam membantu pesakit memerlukan.
“Kami berharap semua dapat menitipkan doa untuk Aidil sentiasa,” kongsinya.
Untuk rekod, kes pendermaan organ di hospital berkenaan kali terakhir direkodkan pada 2019, manakala kes terawal yang pernah direkodkan di HUSM Kubang Kerian adalah pada 2006 melibatkan seorang penderma remaja.
IMedikel TV






