Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA TINGGI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih menunggu titah untuk menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan kemelut pentadbiran negeri itu.
Ahmad Zahid berkata, warkah bagi mempersembahkan nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu sudah diutuskan kepada Istana Negeri Sembilan.
Menurutnya, hanya satu nama calon akan dipersembahkan untuk pertimbangan Tuanku Muhriz, namun pengumuman mengenainya terserah kepada pihak istana selepas mendapat perkenan baginda.
“Hasilnya biar diumumkan oleh Istana sendiri dan juga oleh Datuk Ismail sendiri.
“Warkah telah diutus. Jadi setakat ini saya belum dititah untuk menghadap dan kami mempunyai kepercayaan kepada kepimpinan negeri untuk mempersembahkan maklum warkah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Ke-62 Bil. 2/2026 di Desaru Coast Conference Centre, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyelar tindakan anak Datuk Ismail Lasim yang didakwa mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Beliau menegaskan isu pelantikan itu adalah urusan pentadbiran negeri dan tidak sepatutnya dicampuri ahli keluarga.
“Ini jadi masalah. Ini isu pentadbiran negeri. Anak beranak pergi campur itu apa hal?
“Ini soal MB, bukan soal bapanya Ismail Lasim,” katanya.
Pada Selasa, Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Kenyataan itu dimaklumkan Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali yang turut menyatakan Istana Negeri Sembilan mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung peletakan jawatan Ismail.
IMedikel TV






