SEOUL: Kerajaan Korea Selatan melancarkan semakan menyeluruh terhadap 528 kategori peperiksaan kelayakan kebangsaan tahun ini bagi mengesan perbuatan meniru menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Memetik Seoul Economic Daily, langkah itu susulan pengakuan calon yang memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan Akauntan Cukai Bertauliah kali ke-63 bahawa dia meniru menggunakan AI.
Menurut Kementerian Pekerjaan dan Buruh dan Perkhidmatan Pembangunan Sumber Manusia Korea pada 17 November, semakan itu meliputi 491 kelayakan teknikal kebangsaan dan 37 kelayakan profesional kebangsaan.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, difahamkan, pegawai akan menganalisis pelbagai petunjuk termasuk markah tinggi, jurang markah antara mata pelajaran, perubahan kadar kelulusan serta perbezaan markah mata pelajaran bagi seseorang calon bagi mengenal pasti kes mencurigakan.
Kertas jawapan calon yang dikenal pasti kemudian akan diteliti beberapa pakar pemarkahan sebelum kes yang jelas disyaki mempunyai unsur penipuan dirujuk untuk siasatan jenayah.
Bagaimanapun, usaha mengesan penipuan itu berdepan cabaran apabila kertas jawapan calon hanya disimpan selama setahun dari tarikh keputusan akhir diumumkan, sekali gus mengehadkan semakan terhadap peperiksaan terdahulu.
Susulan itu, kementerian berkenaan berkata, kerajaan akan menggunakan data elektronik seperti rekod markah bagi tempoh tiga hingga lima tahun lalu untuk mengesan corak risiko dan kejanggalan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen daripada Parti Kuasa Rakyat, Kim Wi-sang mencadangkan, peningkatan peruntukan sebanyak 6.57 bilion won (kira-kira RM20.24 juta) bagi program ujian kelayakan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 3.6 bilion won (kira-kira RM11.09 juta) dicadangkan untuk membekalkan 7,200 pengesan isyarat, manakala 2.97 bilion won (kira-kira RM9.15 juta) lagi bagi menempatkan petugas pemantau khusus.
Sementara itu, Perkhidmatan Pembangunan Sumber Manusia Korea turut merancang memperkukuh kawalan di lokasi peperiksaan menerusi penambahan pengesan isyarat, liputan kamera litar tertutup (CCTV) dan petugas pemantau bagi mencegah penipuan menggunakan AI.
Agensi itu berkata, cermin mata pintar sukar dikenal pasti kerana kelihatan hampir sama seperti cermin mata biasa, manakala kaedah pengawasan sedia ada yang bergantung kepada pemerhatian tingkah laku calon mempunyai keterbatasan dalam mengesan penggunaan peranti canggih.
“Kementerian dan agensi kami turut merancang mengambil kira hasil semakan itu dalam penyediaan langkah menyeluruh bagi membanteras penipuan peperiksaan yang akan dilaksanakan tahun ini,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






