Home Buletin Semasa MB KELANTAN YAKIN ECRL BUKA PELUANG BAHARU KEPADA NEGERI, RAKYAT

MB KELANTAN YAKIN ECRL BUKA PELUANG BAHARU KEPADA NEGERI, RAKYAT

Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai pemangkin baharu yang mampu merancakkan pembangunan ekonomi, memperkukuh jaringan pengangkutan serta mengeratkan hubungan antara negeri.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan yang berlangsung dalam suasana unik dan berbeza apabila diadakan di dalam gerabak kereta api ECRL dari Kota Bharu menuju ke Gombak, Selangor.

“Persidangan ini memberi pengalaman baharu kepada kerajaan negeri apabila urusan pentadbiran dapat diteruskan dengan lancar meskipun berlangsung sepanjang perjalanan menaiki tren berkenaan.

“Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan kali ini cukup istimewa apabila berlangsung di dalam gerabak kereta api ECRL bermula dari Kota Bharu menuju ke Gombak,” katanya dalam laman media sosial Facebook, hari ini.

Beliau berkata, perjalanan itu turut memberi peluang kepada beliau bersama barisan Exco kerajaan negeri untuk bermesyuarat dan membincangkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan Kelantan dalam suasana yang lebih kondusif serta dilengkapi kemudahan yang sesuai.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan di dalam gerabak membolehkan urusan pentadbiran negeri diteruskan tanpa mengabaikan perkara-perkara penting yang melibatkan kepentingan rakyat dan agenda pembangunan negeri.

Dalam masa sama, beliau berkata, lawatan dan perjalanan menggunakan ECRL itu membolehkan kerajaan negeri melihat sendiri kemajuan projek infrastruktur berimpak tinggi berkenaan yang kini sedang giat dilaksanakan.

Jelasnya, projek itu berpotensi menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan menerusi peningkatan kecekapan logistik, pergerakan penumpang serta akses yang lebih baik antara Pantai Timur dan Lembah Klang.

“Saya yakin kemudahan pengangkutan moden itu akan membuka lebih banyak peluang pelaburan, perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat sekali gus merangsang pembangunan wilayah secara menyeluruh,” katanya.

“Insya Allah, kemudahan ini akan membuka lebih banyak peluang serta membawa manfaat besar kepada rakyat dan Negeri Kelantan,” katanya.

Projek ECRL kini berada pada fasa akhir persediaan operasi selepas memulakan operasi percubaan, dengan perkhidmatan penumpang komersial disasarkan bermula pada 12 Disember 2026.

Jajaran Kota Bharu-Gombak yang merangkumi Kelantan dijangka menjadi pemangkin baharu kepada sektor pengangkutan, pelancongan dan ekonomi negeri, selain memendekkan tempoh perjalanan antara Kota Bharu dan Lembah Klang kepada kira-kira empat jam.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here