KUALA LUMPUR: Bukan mudah mempertahankan prinsip tidak merokok apabila terpaksa bekerja dalam persekitaran yang dikelilingi perokok, namun maestro muzik, Datuk M Nasir tetap berpegang teguh pada pendiriannya demi menjaga kesihatan.
Memetik laporan Berita Harian, Malah, penyanyi, komposer dan penerbit muzik berusia 68 tahun itu mengakui pernah bertengkar serta memarahi individu yang merokok di sekelilingnya kerana tidak mahu terdedah kepada tabiat yang boleh menjejaskan kesihatan.
M Nasir berkata, amalan menjauhi rokok antara disiplin gaya hidup sihat yang diterapkan sejak muda, selain aktif bersukan sebelum pembabitannya dalam industri seni.
“Sebelum menceburkan diri dalam bidang hiburan, saya sangat aktif dalam sukan terutama bola sepak. Sukan lain pun saya sertai. Apabila sudah memasuki bidang hiburan, saya masih aktif bersukan, tetapi lebih kepada bersenam.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan cara saya menjaga diri, tetapi ada beberapa disiplin yang saya amalkan. Antaranya, saya sentiasa cuba menjauhi perkara yang tidak baik untuk tubuh badan seperti merokok.
“Saya percaya perkara seperti itu boleh merosakkan kesihatan. Mungkin sejak awal lagi saya memang tidak merokok, tetapi itu tidak bermakna saya seorang yang sentiasa sihat. Dari semasa ke semasa, ada juga masalah kesihatan yang saya alami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Magnum Opus: M Nasir Dekad Ke-5, di sini, semalam.
Mengulas pengalamannya berdepan perokok, M Nasir berkata, bukan mudah untuk mempertahankan pendirian itu apabila perlu berurusan dengan individu yang mengamalkan tabiat berkenaan.
“Memang sukar. Saya sering bertengkar dan bergaduh dengan mereka. Ada kala saya memarahi mereka kerana ketika itu saya berada dalam kedudukan untuk menegur, tetapi ada yang tidak mengendahkannya.
“Jadi, saya sendiri perlu mencari jalan untuk mengelakkan diri daripada berada terlalu dekat dengan mereka terutama ketika mereka sedang merokok,” katanya.
Mengulas lanjut, M Nasir tidak menafikan komitmen kerja dalam bidang muzik yang menuntut tumpuan dan ketekunan tinggi turut memberi kesan terhadap kesihatan, terutama apabila terlalu fokus menyiapkan sesuatu projek.
Katanya, beliau seorang yang cukup tekun apabila bekerja, sama ada ketika menyanyi mahupun menghasilkan lagu, sehingga tahap kesungguhannya kadangkala mengejutkan individu yang tidak biasa dengan cara kerjanya.
“Dari segi pekerjaan pula, sama ada menyanyi atau menghasilkan lagu, saya juga seperti orang lain. Apabila sudah bekerja, tahap ketekunan itu kadangkala boleh mengejutkan mereka yang tidak biasa dengan cara kerja saya.
“Namun, keadaan itu juga boleh menjejaskan kesihatan. Sebab itu, saya bersyukur kerana disiplin menjaga diri yang diamalkan sejak awal dahulu banyak membantu saya hingga sekarang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, M Nasir bakal mengadakan konsert Magnum Opus: M Nasir Dekad Ke-5 yang bukan sekadar persembahan hiburan, sebaliknya menjadi wadah apresiasi terhadap budaya dan khazanah muzik tanah air.
Konsert anjuran Luncai Emas Sdn Bhd yang menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKD) Persembahan Muzik daripada MyCreative Ventures itu dijadual berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), pada 5 Disember depan.
Konsert berkenaan bakal mengetengahkan semula karya ikonik M Nasir menerusi kolaborasi bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), selain menampilkan penyanyi jemputan seperti Hazama, Ernie Zakri, Luca Sickta, Kmy Kmo, JoBranko, Kid Search, Pitahati dan Pi’e Ramayan.
Sebanyak 30 karya pilihan akan diberi nafas baharu menerusi susunan muzik simfoni oleh Mohd Rafi Shafie yang bertindak selaku pengarah muzik. – BH Online –
IMedikelTV






