Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GOMBAK: Perjalanan pulang ke kampung halaman yang sebelum ini mengambil masa sehingga 18 jam dari Kuala Lumpur ke Gua Musang bagi musim perayaan, kini berpotensi dipendekkan kepada hanya empat jam menerusi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Perubahan itu pastinya memberi kelegaan kepada perantau, khususnya mereka yang berasal dari Kelantan dan sering berdepan perjalanan jauh setiap kali musim perayaan.
Bagi Mohd Fairuz Zaidi Mat Zin, dari Taman Mutiara Gombak yang berasal dari Pasir Puteh, pengalaman pulang beraya ketika Ramadan dua tahun lalu masih segar dalam ingatannya apabila perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gua Musang mengambil masa sehingga 18 jam.
Justeru, peluang menyertai program percubaan perjalanan “Electric Multiple Unit” (EMU) ECRL memberi pengalaman tersendiri kepadanya, selain membuka harapan untuk perjalanan pulang ke kampung menjadi lebih mudah pada masa hadapan.
Menurutnya, perjalanan menggunakan tren berkenaan amat selesa dan lancar, malah kediamannya yang terletak kira-kira 500 meter dari stesen turut memberi kelebihan dari segi kemudahan akses.

“Ketika bulan Ramadan dua tahun lalu, saya mengambil masa sehingga 18 jam untuk pulang beraya dari Kuala Lumpur ke Gua Musang. Namun, dengan adanya ECRL, perjalanan itu hanya mengambil masa kira-kira empat jam terus ke Kota Bharu.
“Perjalanan sangat selesa, lancar dan tidak terasa gegaran tren. Memang memudahkan untuk balik kampung dan pulang semula pada hari yang sama,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Wan Rohani Wan Ibrahim yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Mutiara Gombak, menyifatkan peluang menyertai program berkenaan sebagai pengalaman yang cukup mengujakan.
Berasal dari Gua Musang, beliau berkata rombongan seramai 40 orang itu turut disertai penduduk dari negeri lain termasuk Kedah yang menetap di taman perumahan sama.
Menurutnya, perjalanan menggunakan ECRL bukan sahaja memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman menaiki tren berkenaan, malah membolehkan rombongan berkenaan meluangkan masa bersiar-siar di Kelantan sebelum pulang ke Gombak pada hari sama.
“Kami sangat teruja kerana dapat merasai sendiri perjalanan menggunakan ECRL. Apabila sampai di sini, kami boleh berjalan-jalan ke Kota Bharu sebelum bertolak pulang ke Gombak pada jam 4 petang,” katanya.
Rombongan berkenaan memulakan perjalanan dari Terminal Bersepadu Gombak (TBG) pada jam 7 pagi sebelum tiba di destinasi sekitar jam 11 pagi.
Pengalaman peserta berkenaan menggambarkan harapan masyarakat terhadap ECRL sebagai kemudahan pengangkutan yang mampu memudahkan perjalanan antara Lembah Klang dan Pantai Timur, khususnya bagi perantau yang ingin pulang ke kampung halaman tanpa perlu mengharungi perjalanan darat yang panjang.
IMedikel TV






