Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
ROMPIN: Jabatan Perikanan Negeri Pahang melepaskan sebanyak 40,000 benih udang galah, lampam sungai dan terbul ke perairan Sungai Rompin pada Program Libat Urus dan Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum Daerah ini di Kampung Gading, di sini, kelmarin.
Pada program berkenaan turut disampaikan bantuan peralatan menangkap ikan berupa jaring di bawah Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN)
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada 30 nelayan darat setempat.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hasan, berkata perlepasan benih udang dan ikan bagi meningkatkan stok sumber makanan dan memulihara sumber perikanan di perairan sungai tersebut.
Menurutnya, hampir setiap tahun pihaknya mengadakan program pelepasan benih udang galah dan ikan di perairan umum di daerah ini yang terkenal dengan udang galah dan beberapa spesies ikan sungai berkualiti tinggi.

Katanya, menerusi program berkenaan dapat meningkatkan pendapatan nelayan darat selain menjadi produk pelancongan bagi peminat aktiviti memancing dibeberapa sungai utama di daerah ini.
“Kita mengagihkan sebanyak 30 unit jaring kepada nelayan darat untuk mereka gunakan bagi menangkap ikan, Sungai Rompin dan beberapa sungai di daerah ini terkenal dengan beberapa spesies ikan seperti baung, terbul, lampam sungai, belida dan ketutu.
“Saya yakin dengan adanya program pelepasan benih udang galah dan ikan di perairan umum daerah ini dapat menambah sumber pendapatan nelayan darat. Selain memancing mereka menggunakan jaring dan lukah untuk menangkap udang serta ikan,” katanya.
Beliau menambah, daerah ini sememangnya terkenal dengan udang galah berkualiti tinggi hingga mampu menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara untuk datang bagi menikmati pelbagai jenis hidangan berasaskan udang galah.
Roslan berkata, pihaknya berharap nelayan darat dan masyarakat setempat di daerah ini dapat menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat kegiatan menangkap udang galah dan ikan menggunakan bahan terlarang. Racun dan elektrik dikategorikan sebagai kaedah yang dilarang.
“Jabatan mengadakan program libat urus dan pelepasan benih ikan ke perairan umum di hampir semua daerah di negeri ini, kita ingin melihat pendapat nelayan darat meningkat dari masa kesemasa.
“Peruntukan disediakan kerajaan negeri menambahkan lagi usaha jabatan membantu golongan nelayan darat di negeri,”katanya.
IMedikel TV






