Home Buletin Semasa JKM PAHANG SELESAI AGIH 228 TAN MAKANAN KE 167 PANGKALAN HADAPAN

JKM PAHANG SELESAI AGIH 228 TAN MAKANAN KE 167 PANGKALAN HADAPAN

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang selesai mengagihkan sebanyak 228 tan makanan kering ke 167 pangkalan hadapan di negeri ini sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang berlaku hingga Mac tahun depan.

Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad, berkata agihan secara berperingkat bermula bulan lalu membabitkan sembilan jenis barang makanan kering seperti biskut, sardin, gula, beras, kopi, minyak masak, kari ayam, teh uncang dan garam.

Turut disediakan tujuh keperluan asas untuk mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) seperti selimut, tuala, tikar, lampin pakai buang bayi dan dewasa termasuk sabun, kain pelikat serta kain batik.

Menurutnya, sebanyak 878 pusat pemindahan sementara disediakan yang mampu menempatkan lebih 184,820 mangsa banjir. Sebanyak 422 sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara diikuti 369 dewan dan balai raya, 56 masjid dan surau, pusat aktiviti (22) termasuk Institut Pendidikan Tinggi (9).

Katanya, daerah Temerloh dijangka ada 33 pusat pemindahan sementara (PPS) diikuti Jerantut (20), Kuantan  (19), Lipis (18), Rompin (15),

Pekan (14), Maran (12), Bera (12), Raub (11), Bentong (4) serta Cameron Highlands (3).

“Kerajaan Pahang memperuntukkan RM3.78 juta bagi menyediakan 332,906 pek bekalan makanan kering yang ditempatkan di 167 pangkalan hadapan di seluruh negeri sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

“Persediaan awal itu dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan bekalan makanan asas dapat disalurkan segera kepada penduduk sekiranya berlaku banjir atau bencana secara tiba-tiba,” katanya selepas melawat depoh simpanan barangan JKM Pahang, di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan barangan basah seperti ikan, ayam dan sayur termasuk makanan sedia di pusat pemindahan sementara, petugas akan memasak tiga hingga empat kali sehari untuk mangsa banjir.

Khairul Amri berkata, jabatan menyediakan kira-kira 334,773 unit sembilan barangan kering di pusat pemindahan sementara untuk diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir, mereka yang dibenarkan pulang boleh memasak di rumah.

“Kita berusaha memberi yang terbaik kepada mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara, pada masa sama mereka perlu memberi kerjasama dalam memastikan keadaan menjadi lebih selesa.

“Jabatan sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan lain, komuniti dan sukarelawan dalam membantu melancarkan bantuan dan pengurusan di pusat pemindahan sementara,” katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here