LONDON: Kumpulan hak asasi yang berpangkalan di United Kingdom (UK) memberi amaran bahawa lebih setengah juta kanak-kanak di Semenanjung Gaza tidak mempunyai tempat perlindungan yang selamat akibat sekatan Israel, ketika ribut musim sejuk pertama di wilayah itu menyebabkan puluhan ribu khemah ditenggelami banjir dalam tempoh sehari, lapor Anadolu Ajansi.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, lebih setengah juta kanak-kanak di Gaza kini berdepan musim sejuk keempat mereka dengan berlindung di dalam khemah yang koyak atau tempat perlindungan sementara, malah ramai terpaksa membakar sampah untuk memanaskan badan, susulan sekatan Israel yang terus menghalang kemasukan bahan diperlukan bagi melindungi mereka daripada cuaca sejuk dan banjir, menurut Save the Children dalam satu kenyataan selepas ribut kuat melanda wilayah itu.
Ribut yang melanda Gaza pada Jumaat malam menyebabkan lebih 70,000 khemah ditenggelami banjir dan puluhan tembok yang rosak akibat perang runtuh, menurut Pejabat Media Kerajaan.
Dua wanita dan tiga kanak-kanak maut apabila benteng pasir runtuh menghempap khemah yang menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Deir al-Balah, menurut Pertahanan Awam Gaza.
Memetik penilaian terkini Kluster Tempat Perlindungan Palestin, Save the Children, berkata kira-kira 58 peratus penduduk Gaza atau 1.2 juta orang termasuk lebih 560,000 kanak-kanak kini tinggal dalam keadaan tempat perlindungan yang dikategorikan sebagai “kritikal atau malapetaka”.
“Walaupun gencatan senjata yang kononnya diumumkan lebih setahun lalu menetapkan kemasukan rumah kediaman mudah alih (karavan) sebagai alternatif lebih tahan lama berbanding khemah, pihak berkuasa Israel berulang kali menghalang kemasukannya ke Gaza, menyebabkan ratusan ribu kanak-kanak terdedah kepada satu lagi musim sejuk yang penuh kesengsaraan,” menurut kumpulan itu.
Hampir separuh daripada keluarga yang ditinjau dalam penilaian Kluster Tempat Perlindungan, berkata mereka terpaksa membakar plastik, tayar, sampah atau kadbod untuk memasak, manakala 84 peratus menyatakan mereka tidak mempunyai kaedah berkesan untuk memanaskan tempat perlindungan masing-masing.
“Asap toksik yang terhasil daripada pembakaran bahan ini boleh menyebabkan masalah kesihatan serius termasuk penyakit pernafasan, keracunan asap dan keracunan karbon monoksida, selain kebakaran serta kecederaan melecur,” menurut kenyataan itu.
Save the Children menegaskan bahawa sekatan yang dikenakan Rejim Zionis turut mengehadkan kemasukan barangan penting lain untuk menghadapi musim sejuk, termasuk khemah, kanvas kalis air, kepingan plastik, bahan penebat, selimut, bahan api, gas memasak, peralatan pemanas dan bahan binaan yang diperlukan untuk membaiki tempat perlindungan yang rosak.
Memberi amaran bahawa keadaan itu boleh membawa kesan “maut dan mengancam nyawa” kepada kanak-kanak di Gaza, kumpulan itu berkata, 11 kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat hipotermia di wilayah itu pada tahun lalu.
“Kanak-kanak menggigil dalam kesejukan tanpa pakaian musim sejuk, manakala keluarga kehilangan barangan yang masih tinggal pada mereka. Keadaan ini amat menyayat hati dan sebenarnya boleh dijangka sepenuhnya,” kata Pengarah Serantau Save the Children International, Ahmad Alhendawi.
Beliau berkata, keadaan itu bukan “sekadar akibat cuaca buruk”, sambil menyatakan bahawa khemah, kit perlindungan dan bahan api masih menunggu di sempadan Gaza ketika kanak-kanak terpaksa tidur dalam air banjir kerana pihak berkuasa Israel menghalang kemasukan barangan berkenaan.
“Ini adalah satu pilihan dan kanak-kanak terpaksa menanggung akibatnya. Lebih setahun selepas gencatan senjata yang kononnya diumumkan itu, ia masih gagal melindungi kanak-kanak Palestin,” katanya. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






